Pembedahan bagi epilepsi

Latarbelakang

Epilepsi atau sawan terjadi apabila terdapat aktiviti elektrik yang tidak normal di bahagian tertentu otak. 30% daripada pesakit epilepsi, serangan sawan mereka tidak terkawal dengan ubat-ubatan sahaja. Jika tempat isyarat eletrik yang tidak normal (zon epileptogenik) ini dapat dikesan sama ada melalui sifat sawan tersebut, atau melalui penemuan pengimejan resonan magnetik (MRI) (sejenis imbasan pengimejan perubatan yang menggunakan medan magnetik yang kuat dan gelombang radio untuk menghasilkan imej-imej terperinci di dalam badan) dan elektroensefalografi (EEG) (rakaman aktiviti elektrik di sepanjang kulit kepala), pesakit seharusnya ditawarkan peluang untuk membuang zon epileptogenik tersebut. Kami telah mengkaji ciri-ciri pesakit yang menjalani pembedahan dan juga jenis pembedahan yang dapat dikaitkan dengan peluang terbaik untuk menghentikan sawan epilepsi.

Ciri-ciri kajian

Kami mengkaji bukti-bukti daripada 182 kajian yang dimasukkan yang melaporkan pengalaman 16,855 pesakit dari semua peringkat umur. Bukti terkini sehingga Mac 2019.

Keputusan-keputusan utama

Secara keseluruhan, 10,696 pesakit (64% daripada jumlah keseluruhan yang telah menjalani pembedahan dalam kajian ini) mendapat hasil yang baik daripada pembedahan, yang ditakrifkan sebagai bebas dari sawan epilepsi.

Dua percubaan terkawal rawak (RCTs) telah mendapati bahawa rawatan pembedahan lebih berkesan berbanding ubat-ubatan antiepileptik. Tujuh RCTs membandingkan jenis pembedahan yang berbeza. Tiga kajian menemui tiada perbezaan pada jumlah serangan sawan; satu kajian telah mengeluarkan 2.5 cm atau 3.5 cm lobus temporal anterior (ATL - bahagian otak di mana zon epileptogenik biasanya berada) atau ATL dikeluarkan melalui pembedahan dengan atau tanpa prosedur tambahan yang memutuskan saraf yang menyambung otak kanan dan kiri. Kajian ketiga mendapati membuang keseluruhan hipokampus (bahagian otak di mana zon epileptogenic sering berada) adalah lebih berkesan daripada mengeluarkan hanya sebahagian hipokampus. Kajian keempat menunjukkan pengeluaran ATL adalah lebih berkesan daripada prosedur pembedahan yang menggunakan terapi radiasi, Dua kajian menunjukkan tidak ada perbezaan antara jenis prosedur pembedahan yang berbeza untuk mengeluarkan ATL atau hipokampus dan kajian terakhir menunjukkan untuk Sindrom Lennox-Gastaut, keputusan menunjukkan tiada perbezaan yang signifikan pada serangan sawan antara pesakit yang membuang zon epileptogenik tanpa memutuskan saraf penyambung dua bahagian otak dan mereka yang menjalani reseksi berserta kalosotomi korpus (memutuskan saraf penyambung dua bahagian otak).

Kami mengenalpasti beberapa faktor yang berkait dengan hasil yang lebih baik selepas pembedahan, antaranya lokasi abnormal yang dikesan oleh MRI sepadan dengan apa yang dijangkakan dari deskripsi sawan dan penemuan EEG, pembuangan bahagian yang tidak normal keseluruhannya melalui pembedahan, sejarah sawan demam (sawan yang terjadi disebabkan demam dikalangan kanak-kanak) kerap dikaitkan dengan sklerosis temporal mesial (parut di bahagian dalam temporal otak).

Keabnormalan otak yang lebih meluas yang mungkin berkait dengan kecederaan otak atau tumbesaran otak yang tidak normal menghasilkan hasil yang kurang baik selepas pembedahan. Kewujudan keabnormalan begini sering dikaitkan dengan keperluan untuk penyiasatan lebih terperinci sebelum pembedahan termasuk melakukan EEG intrakranium (dalam tengkorak) bukan hanya di luar kulit kepala. Kami ingin menyelidik atau mencari bukti ke atas gabungan faktor-faktor berikut (iaitu kesan ke atas hasil pembedahan jika seseorang mempunyai sejarah sawan febril, kecederaan otak dan abnormal MRI); bagaimanapun, kajian yang dibuat tidak melaporkan maklumat yang cukup untuk melakukan perkara ini.

Kualiti bukti

Kebanyakan kajian yang dimasukkan dalam ulasan ini adalah berkualiti lemah dan mempunyai rekabentuk retrospektif (di mana individu didaftarkan selepas hasil pembedahan direkod, pengkaji melihat semula faktor-faktor yang berkaitan dengan pembedahan selepas hasil pembedahan ke atas pesakit itu diambil). Penyelidik menggunakan pendekatan pembedahan yang berbagai bagi kawasan dalam otak yang berbeza, proses yang berbeza untuk memilih calon-calon bagi pembedahan, dan takrifan yang berbeza bagi bebas dari serangan sawan selepas pembedahan, dan hasil-hasil ini di ukur pada tempoh yang berbagai. Kurang daripada separuh daripada kajian melaporkan butir-butir komplikasi dan kematian berkaitan dengan pembedahan.

Kesimpulan

Kami menggalakkan para penyelidik untuk kajian masa depan melakukan kajian reka bentuk prospektif (reka bentuk di mana individu didaftarkan sebelum pembedahan dijalani, yang mengenal pasti faktor-faktor yang ingin dikaji sebelum pembedahan dan menyusuli individu selepas pembedahan untuk merekodkan hasil). Kajian harus menggunakan kaedah statistik yang sesuai untuk mengkaji kesan kolektif faktor-faktor yang boleh meramal hasil pembedahan. Pengarang-pengarang kajian seharusnya merekodkan dengan jelas kematian semasa atau selepas pembedahan, serta komplikasi dan kesan sampingan dari pembedahan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia) Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini, sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information