Teknologi bantuan pembiakan: gambaran keseluruhan Ulasan Cochrane

Soalan ulasan

Apakah bukti keberkesanan dan keselamatan prosedur dan pilihan rawatan yang sedia ada untuk pasangan kurang subur yang menjalani prosedur teknologi bantuan pembiakan (ART).

Latar belakang

Seramai satu dalam enam pasangan menghadapi masalah dengan kesuburan, ditakrifkan sebagai kegagalan untuk mencapai kehamilan klinikal selepas persetubuhan yang kerap dalam tempoh 12 bulan. Semakin ramai pasangan beralih kepada teknologi bantuan pembiakan (ART) untuk membantu kehamilan dan akhirnya melahirkan bayi yang sihat. Rawatan kesuburan adalah kompleks dan mahal, dan setiap kitaran bantuan pembiakan terdiri daripada beberapa langkah. Jika salah satu langkah itu tidak dijalankan dengan betul, kehamilan mungkin tidak berlaku. Dengan ini dalam fikiran, adalah penting bahawa setiap langkah yang terdapat dalam ART disokong oleh bukti yang baik daripada kajian yang direka dengan baik. Penulis ulasan Cochrane mengkaji bukti daripada ulasan-ulasan sistematik Cochrane tentang ART yang telah diterbitkan dalam perpustakaan Cochrane.

Ciri-ciri Kajian

Kami memasukkan 68 kajian sistematik Cochrane tentang pelbagai peringkat kitaran ART. Semua mempunyai kualiti yang tinggi. Kami masukkan ke dalam ulasan gambaran keseluruhan tentang persenyawaan in vitro (IVF) dan suntikan sperma ke dalam sitoplasma (ICSI). Kami tidak masukkan ulasan tentang permanian beradas (meletakkan sperma ke dalam rahim wanita untuk memudahkan persenyawaan) atau induksi ovulasi (rangsangan ovulasi dengan ubat-ubatan). Gambaran keseluruhan ini memberikan bukti yang paling terkini daripada kajian rawak terkawal tentang kitaran ART. Bukti adalah terkini sehingga Mei 2018.

Keputusan-keputusan utama

Ulasan ini mengenal pasti 38 intervensi yang berkesan (n = 23) atau mempunyai harapan untuk berjaya (n = 15), dan mereka mengenal pasti 19 intervensi yang tidak berkesan (n = 2) atau mungkin tidak berkesan (n = 17). Untuk 15 intervensi, ulasan tidak dapat dibuat kesimpulan kerana kekurangan bukti. Penggunaan bukti dari gambaran keseluruhan ini adalah untuk membimbing amalan klinikal untuk membantu meningkatkan kadar kelahiran hidup dan mengurangkan kadar kehamilan kembar, pembatalan kitaran, dan sindrom ovari terlebih rangsangan.

Kualiti bukti kajian

Semua ulasan yang dimasukkan adalah berkualiti tinggi. Kualiti bukti untuk perbandingan khusus adalah berkisar dari sangat rendah ke tinggi.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Mastura Abd Malek (Pelajar Pasca-Siswazah Fakulti Perubatan, UiTM). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi mastura.malek78@gmail.com

Tools
Information