Pembuangan limpa di kalangan orang yang menghidapi talasemia major dan intermedia

Ulasan soalan

Kami mengkaji semula bukti yang membandingkan pembuangan limpa (splenektomi) dengan rawatan-rawatan lain (seperti transfusi darah dan pengkelatan (penyingkiran ion logam berlebihan) di kalangan orang yang mempunyai talasemia major dan intermedia.

Latar belakang

Talasemia adalah penyakit genetik, disebabkan oleh kecacatan dalam penghasilan haemoglobin - yang membawa oksigen dalam sel darah merah ke semua tisu-tisu badan. Penampakan tanda klinikal talasemia berbeza secara meluas daripada bentuk asimptomatik yang ringan kepada kebergantungan transfusi darah sepanjang hayat. Kecacatan genetik dalam talasemia juga menyebabkan pembentukan sel darah merah yang tidak sempurna, yang disingkirkan oleh limpa, akhirnya mengakibatkannya menjadi semakin besar. Pembuangan limpa boleh memanjangkan jangka hayat sel darah merah dan mengurangkan keperluan untuk transfusi. Kami ingin menilai sama ada bukti semasa menunjukkan bahawa membuang limpa adalah selamat dan berkesan dalam jangka panjang dan membandingkan kaedah pembedahan yang berbeza untuk membuang limpa.

Tarikh pencarian

Bukti ini adalah terkini sehingga: 02 Ogos 2019.

Ciri-ciri kajian

Satu kajian dengan seramai 28 peserta telah dilibatkan dalam ulasan. Kajian ini membandingkan dua kaedah splenektomi - cara laparoskopi (lubang kunci) berbanding dengan pendekatan pembedahan terbuka. Para peserta kajian telah direkrut dalam tempoh 3.5 tahun, tetapi para peserta hanya akan disusuli sehingga akhir tempoh penginapan di hospital (biasanya kurang daripada satu minggu).

Keputusan-keputusan utama

Kajian ini telah menilai dua jenis kaedah pembedahan. Hanya salah satu daripada tiga keputusan utama kami telah dilaporkan, bilangan orang yang mengalami peristiwa buruk yang besar (pendarahan semasa dan selepas operasi dan kerosakan sebahagian daripada paru-paru). Walau bagaimanapun, jumlah maklumat yang ada tidak mencukupi untuk medorong sebarang kesimpulan yang boleh dipercayai (bukti kualiti yang sangat rendah). Oleh itu, kami tidak dapat memberikan cadangan berkenaan penggunaan splenektomi di kalangan orang yang menghidapi talasemia. Penilaian klinikal yang sewajarnya, memandangkan pelbagai risiko dan faedah yang diterangkan oleh lain-lain sumber yang bukti berkualiti rendah (misalnya kajian pencerapan), mungkin perlu apabila mempertimbangkan splenektomi di kalangan orang yang menghidapi talasemia.

Kualiti bukti

Walaupun kami berpuas hati bahawa para peserta mempunyai peluang yang sama untuk menjalani sebarang jenis pembedahan, tidak ada maklumat yang mencukupi mengenai aspek kajian yang lain untuk membuat sebarang penghakiman secara keseluruhan terhadap kualitinya.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Fairuz Fadzilah Rahim (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi fairuzfr@yahoo.com

Tools
Information
Share/Save