Tekanan salur udara positif berterusan (CPAP) untuk bronkiolitis akut dalam kalangan kanak-kanak

Soalan ulasan

Adakah tekanan salur udara positif berterusan (CPAP) lebih baik atau lebih teruk berbanding rawatan sokongan untuk kanak-kanak dengan bronkiolitis akut?

Latar belakang

Bronkiolitis adalah keradangan saluran pernafasan kecil di dalam paru-paru, dan penyebab lazim untuk rawatan di jabatan kecemasan dalam kalangan kanak-kanak. Kanak-kanak sering menerima rawatan sokongan termasuk memastikan penghidratan yang cukup dan menyediakan oksigen tambahan yang diperlukan. Rawatan tekanan salur udara positif berterusan melibatkan tekanan udara positif dengan meniup udara dari pam untuk memastikan saluran pernafasan terbuka, dan mungkin berkesan untuk kanak-kanak dengan bronkiolitis. Ini adalah kemas kini ulasan yang pertama diterbitkan pada 2015.

Tarikh carian

10 Januari 2018.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan tiga kajian rawak secara terkawal yang kecil (kajian di mana peserta diletakkan dalam satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan menggunakan kaedah rawak) yang melibatkan sejumlah 122 kanak-kanak berumur sehingga 12 bulan yang didiagnosis dengan bronkiolitis. Kami memasukkan satu kajian berkualiti rendah baharu dengan 72 kanak-kanak dalam kemas kini ini. Tiga kajian itu dijalankan di pusat-pusat tunggal di Perancis, UK, dan India. Semua kajian membandingkan CPAP dengan terapi standard.

Sumber pembiayaan kajian

Satu kajian dibiaya oleh sebuah hospital universiti; satu melaporkan bahawa tiada pembiayaan diterima; dan satu kajian tidak menyebut sumber pembiayaan.

Keputusan utama

Bukti sedia ada tidak cukup untuk membolehkan kesimpulan tentang kesan CPAP terhadap keperluan untuk ventilasi mekanikal dalam kalangan kanak-kanak dengan bronkiolitis. Bukti berkualiti rendah yang terhad menunjukkan pernafasan bertambah baik (kadar pernafasan menurun) dalam kalangan kanak-kanak yang menerima CPAP. Tempoh masa kanak-kanak di hospital adalah serupa di antara CPAP dan kumpulan terapi standard. Tiada kanak-kanak dalam kajian dilaporkan telah meninggal dunia. Kajian-kajian tidak melaporkan masa untuk pemulihan, perubahan dalam tekanan oksigen separa, berapa kerap kanak-kanak dimasukkan ke hospital dari jabatan kecemasan, berapa lama kanak-kanak berada di jabatan kecemasan, dan keperluan kemasukan ke penjagaan intensif. Tiada kesan nasal setempat, atau renjatan seperti yang dilaporkan oleh satu kajian. Tiada kanak-kanak yang dilaporkan mempunyai udara dalam rongga di antara paru-paru dan dinding dada, menyebabkan paru-paru kuncup (pneumotoraks) seperti yang dilaporkan oleh satu kajian. Dua kajian tidak melaporkan kesannasal setempat, renjatan, atau pneumotoraks. Kajian yang ditambah untuk kemas kini ini menyumbang data kepada penilaian kadar pernafasan dan keperluan untuk ventilasi mekanikal.

Kualiti bukti

Kami mendapati bukti berkualiti rendah yang terhad berkaitan dengan CPAP untuk kanak-kanak dengan bronkiolitis. Kualiti bukti dikurangkan kerana risiko bias yang tinggi, hilang pada susulan, pelaporan selektif, dan julat nilai yang luas dilaporkan oleh kajian-kajian.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save