Diari untuk pemulihan dari penyakit kritikal

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti tentang kesan diari, berbanding tiada diari, terhadap pemulihan dalam kalangan orang yang pulih dari penyakit kritikal, penjaga dan keluarga mereka.

Latar belakang

Orang yang sakit kritikal mengalami masalah fizikal dan psikologi yang ketara semasa pemulihan. Diari yang menghuraikan pengalaman di unit rawatan intensif (ICU) seseorang telah dicadang sebagai sesuatu yang mungkin berkesan membantu mangsa-mangsa yang terselamat dan ahli keluarga mereka dalam pemulihan fungsi psikologi.

Ciri-ciri kajian

Bukti-bukti adalah terkini hingga Januari 2014. Kami mengenal pasti tiga kajian yang layak; dua kajian menjelaskan 358 pesakit ICU, dan satu menjelaskan 30 saudara-mara pesakit ICU. Kajian-kajian ini telah dimasukkan dalam ulasan. Kajian yang melibatkan saudara-mara pesakit ICU adalah sub-kajian ahli keluarga dari salah satu kajian pesakit ICU. Semua yang termasuk dalam kajian ini adalah dewasa di sekitar Eropah dan UK, dengan pelbagai penyakit tahap kritikal, yang memerlukan kemasukan ke ICU.

Keputusan utama

Kami tidak menemui kajian yang melaporkan risiko gangguan pasca trauma dalam kalangan pesakit yang pulih dari kemasukan ke ICU dengan menggunakan temu ramah klinikal berstruktur.

Hasil utama lain termasuklah ukuran kegelisahan dan kemurungan yang diterangkan dalam satu kajian melibatkan 36 pesakit. Dalam kajian ini tiada bukti jelas tentang perbezaan kegelisahan dan kemurungan apabila diari pesakit diguna untuk orang yang sedang pulih dari kemasukan ICU, berbanding tiada diari. Gejala stres pasca trauma dalam kalangan anggota keluarga dan penjaga didapati kurang dalam kajian lain yang melibatkan 30 orang apabila diari pesakit diguna, berbanding tiada diari.

Penyelidikan semasa tidak dapat menilai keselamatan dan keberkesanan diari pesakit dengan secukupnya. Kejadian buruk yang berkait dengan penggunaan diari belum dilaporkan. Belum dapat dipastikan sama ada diari pesakit adalah amalan yang berkesan atau sama ada ia boleh menyebabkan bahaya.

Kualiti bukti
Keseluruhan kualiti bukti untuk menyokong penggunaan diari untuk mempromosi pemulihan pesakit dan penjaga atau keluarga yang pulih dari penyakit kritikal adalah rendah atau sangat rendah. Ini kerana amaun penyelidikan yang kecil dan kualiti metodologi kajian. Tiada bukti untuk menyokong penggunaannya dan belum dapat dibuktikan sama ada ia bermanfaat atau berbahaya.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus - kelas siswazah 2020). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information
Share/Save