Teknik pemilihan sperma termaju untuk pembiakan bantuan

Soalan ulasan

Kami berusaha untuk menentukan sama ada mana-mana teknik pemilihan sperma termaju yang digunakan untuk pembiakan bantuan, kecuali bagi pembesaran ultra-tinggi, mengubah kadar kelahiran hidup, kehamilan klinikal, keguguran, atau keabnormalan janin.

Latarbelakang

Persenyawaan in vitro (IVF) dengan atau tanpa suntikan sperma intrasitoplasmik (ICSI) adalah rawatan yang biasa digunakan untuk pasangan yang kurang subur. Adalah difikirkan bahawa pemilihan sperma yang berkualiti tinggi boleh meningkatkan hasil kejayaan untuk pasangan-pasangan ini. Teknik pemilihan sperma termaju menggunakan kaedah yang kompleks untuk memilih sperma yang sihat, matang, dan mempunyai struktur yang bagus untuk persenyawaan.. Walaupun teknik ini banyak digunakan di pusat-pusat rawatan kesuburan di seluruh dunia, keberkesanannya adalah tidak jelas.

Ciri-ciri kajian

Kami mengambil kira lapan kajian rawak terkawal (sejenis kajian di mana peserta dibahagikan kepada satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan menggunakan kaedah rawak) dengan jumlah 4147 wanita. Empat kajian menilai pemilihan sperma berdasarkan keupayaannya untuk melekat kepada asid hyaluronik semasa proses ICSI (HA-ICSI) berbanding ICSI. Satu kajian membandingkan antara HA-ICSI berbanding SpermSlow. Satu kajian membandingkan antara HA-ICSI berbanding pengisihan sel bermagnet-diaktifkan (MACS) dan ICSI. Tiga kajian membandingkan antara MACS berbanding ICSI. Satu kajian membandingkan antara pemilihan sperma dengan caj permukaan Zeta potensi berbanding ICSI. Enam daripada kajian yang dinyatakan telah melaporkan kadar kelahiran hidup; tujuh laporan kehamilan klinikal telah dilaporkan; enam melaporkan keguguran setiap kehamilan klinikal dan setiap wanita secara rawak; dan tiada laporan mengenai keabnormalan pada janin.

Keputusan-keputusan utama

Bukti yang sedia ada menunjukkan bahawa strategi pemilihan sperma termaju dalam teknologi bantuan reproduktif (ART) tidak boleh menyebabkan peningkatan dalam kejayaan kelahiran hidup. Satu-satunya teknik pemilihan sperma yang berpotensi meningkatkan kelahiran hidup dan kadar kehamilan klinikal adalah pemilihan sperma Zeta, namun keputusan ini adalah berkualiti rendah dan diperolehi daripada satu kajian tunggal, oleh itu kami tidak pasti mengenai keberkesanannya. Terdapat bukti yang berkualiti rendah menunjukkan bahawa HA-ICSI mengurangkan kadar keguguran apabila dibandingkan dengan ICSI. Kami tidak pasti sama ada teknik pemilihan sperma yang lain mengubah kadar kehamilan atau keguguran klinikal. Tiada kajian yang dilaporkan ke atas keabnormalan, dan kajian lanjutan mengenai kualiti yang sesuai diperlukan sebelum mana-mana teknik pemilihan sperma lebih maju ini boleh disyorkan untuk digunakan dalam amalan klinikal.

Kualiti bukti

Walau bagaimanapun, bukti tersebut adalah berkualiti sangat rendah. Pengehadan utama adalah berkaitan dengan bilangan peserta atau peristiwa yang rendah dan risiko bias prestasi yang tinggi. Data mengenai hasil klinikal penting seperti keabnormalan masih tiada.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Mastura Abd Malek (Pelajar Pasca-Siswazah Faluti Perubatan, UiTM). Disunting oleh Intan Juliana Abd Hamid (Institut Perubatan & Pergigian Termaju, USM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi mastura.malek78@gmail.com

Tools
Information