Terapi antibiotik untuk merawat luka bukan surgikal yang dijangkiti atau dijajahiStaphylococcus aureus rintang methicillin (MRSA).

Luka bukan surgikal termasuk ulser kulit kronik (seperti luka tekan atau ulser diabetes), luka terbakar dan luka traumatik. Staphylococcus aureus rintang methicillin (MRSA) boleh hadir dalam 7% hingga 30% daripada luka tersebut, dan MRSA boleh merebak ke dalam aliran darah, menyebabkan penyakit yang mengancam nyawa. Sebahagian daripada luka di mana MRSA hadir menunjukkan tanda-tanda jangkitan seperti kemerahan, kesakitan, dan discaj nanah. Kehadiran MRSA tanpa jangkitan dipanggil penjajahan. Adalah tidak jelas sama ada antibiotik perlu digunakan dalam penjajahan MRSA pada luka bukan surgikal. Antibiotik yang perlu digunakan dalam luka yang dijangkiti MRSA juga tidak jelas. Kami cuba untuk mencari dengan melakukan carian kesusasteraan perubatan yang rapi untuk kajian yang membanding rawatan antibiotik yang berbeza untuk luka bukan surgikal yang dijangkiti atau dijajah MRSA. Kami memasukkan hanya ujian rawak terkawal, kerana, jika dilakukan dengan betul, boleh memberi maklumat terbaik. Kami memasukkan semua kajian rawak terkawal yang relevan tidak kira bahasa laporan kajian, tahun penerbitan, dan bilangan orang yang termasuk di dalamnya. Dua penulis ulasan mengenal pasti kajian secara berasingan dan mengekstrak maklumat yang relevan untuk mengurangkan peluang kesilapan semasa proses ini.

Kami mengenal pasti tiga kajian yang memberi beberapa maklumat mengenai topik ini. Sejumlah 47 orang dengan jangkitan MRSA kaki diabetes diberi secara rawak enam rawatan antibiotik yang berlainan (pilihan rawatan ditentukan dengan kaedah yang sama seperti melambung syiling). Hasil tunggal yang dilaporkan adalah pembasmian MRSA. Kajian-kajian tidak melaporkan hasil lain yang penting untuk pesakit dan pihak penaja penjagaan kesihatan, seperti kematian, kualiti hidup, tempoh tinggal di hospital, penggunaan sumber penjagaan kesihatan dan masa untuk menyelesaikan penyembuhan luka. Setiap kajian membanding antibiotik yang berbeza, dan dalam setiap perbandingan, tiada perbezaan dalam keberkesanan antibiotik dalam membasmi MRSA. Tiga kajian adalah sangat kecil dan mempunyai beberapa kesilapan dari segi reka bentuk, oleh itu masih tidak mungkin untuk mengatakan yang mana antibiotik adalah paling berkesan dalam membasmi MRSA dari luka bukan surgikal. Oleh kerana tiada kajian sama sekali yang membandingkan penggunaan antibiotik dengan tanpa antibiotik, kami tidak tahu sama ada penggunaan antibiotik memberi perbezaan untuk mereka yang mempunyai luka bukan surgikal yang dijajah MRSA. Kajian rawak terkawal lanjutan yang bermutu diperlukan untuk menentukan rawatan yang terbaik untuk luka bukan surgikal yang mengandungi atau dijangkiti MRSA.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismai (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi LokeTimKhaw@imu.edu.my.

Tools
Information
Share/Save