Penggunaan penyekat saluran natrium pada individu dengan multiple sclerosis (MS)

Latar belakang

Multiple sclerosis (MS) ialah penyakit autoimun, radang, dan penyahmielinan sistem saraf pusat. Ia boleh mengakibatkan pelbagai gejala termasuk gangguan deria, keletihan, masalah berjalan atau keseimbangan, gangguan penglihatan, vertigo dan ketidakupayaan kognitif. Pada masa ini, rawatan MS yang paling biasa digunakan ialah agen imunomodulator, seperti beta interferon, glatiramer acetate, natalizumab, fingolimod, teriflunomide dan dimethyl fumarate. Walaupun agen-agen ini semuanya telah ditunjukkan untuk mengurangkan kekerapan pengulangan penyakit, ia mempunyai sedikit sahaja kesan ke atas ketidakupayaan yang mencirikan bentuk penyakit yang progresif. Kajian haiwan menunjukkan pengumpulan natrium (Na + ) membawa kepada pembebasan kalsium intraselular (Ca 2+ ), dan paras kalsium yang meningkat boleh mengaktifkan pembebasan unsur-unsur berbahaya. Unsur-unsur ini menyumbang kepada kecederaan axonal yang memburukkan lagi kecacatan neurologi. Jika sekatan separa saluran natrium berpagar voltan boleh mengakibatkan pelindungan saraf terhadap pesakit MS, ini akan memberi manfaat dalam mencegah perkembangan ketidakupayaan pada pesakit-pesakit ini. Pelindung saraf muncul sebagai strategi yang berpotensi penting untuk mencegah kecacatan yang progresif dalam MS.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari kajian rawak terkawal (RCT), di mana peserta dibahagikan secara rawak kepada kumpulan rawatan atau kumpulan kawalan. Dalam kebanyakan seting, kajian-kajian ini memberikan bukti berkualiti tertinggi. Kami berminat dengan kajian-kajian yang membandingkan penyekat saluran natrium dengan plasebo, atau menggunakannya sebagai tambahan kepada mana-mana rawatan yang diluluskan untuk MS.

Keputusan utama

Kami menjumpai hanya satu kajian dengan seramai 120 peserta. Tiada data ditemui tentang progresif kehilangan upaya dan orang yang mengalami pengulangan penyakit. Tiada perbezaan ketara antara dua kumpulan yang ditemui dalam pengukuran atrofi serebrum, perubahan skor kecacatan yang diperluas, atau perubahan skor komposit fungsional MS. Rawatan dengan lamotrigine dikaitkan dengan lebih banyak ruam (20% berbanding 5%) dan kemerosotan sementara pergerakan yang berkaitan dengan dos ubat. Terdapat kekurangan bukti untuk menangani soalan ulasan mengenai keberkesanan penyekat saluran natrium bagi individu yang mempunyai MS. Ulasan ini akan dikemaskini apabila tiga kajian yang sedang berjalan yang kami kenal pasti selesai.

Kualiti bukti

Kualiti bukti dinilai sebagai sangat rendah kerana bilangan kajian dan populasi yang sedikit. Terdapat kekurangan bukti untuk menangani soalan ulasan mengenai keberkesanan penyekat saluran natrium bagi individu yang mempunyai MS. Penilaian terhadap tiga kajian yang sedang berjalan mungkin mengubah kesimpulan ini. Kajian berskala besar dan berkualiti tinggi pada masa depan sangat diperlukan.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Universiti Malaya). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information