Faktor-faktor yang boleh mempengaruhi kejayaan program pekerja kesihatan bukan profesional untuk kesihatan ibu dan anak

Ulasan ini dijalankan oleh penyelidik dalam Kolaborasi Cochrane. Ia meringkaskan penemuan 53 kajian yang meneroka faktor yang mempengaruhi kejayaan program pekerja kesihatan bukan profesional (lay health worker) (LHW) untuk kesihatan ibu dan anak. Ulasan ini telah dijalankan bersama-sama Ulasan Cochrane yang menilai keberkesanan program LHW terhadap kesihatan ibu dan anak.

Apakah pekerja kesihatan bukan profesional?

LHW ialah orang awam yang telah menerima beberapa latihan untuk menyampaikan perkhidmatan penjagaan kesihatan tetapi bukan seorang profesional kesihatan. Dalam kebanyakan kajian dalam ulasan ini, LHW menawarkan penjagaan kesihatan kepada orang yang berpendapatan rendah yang tinggal di negara kaya atau kepada orang yang tinggal di negara miskin. LHW di negara kaya menawarkan promosi kesihatan, kaunseling dan sokongan. LHW di negara miskin menawarkan perkhidmatan yang serupa tetapi kadangkala mereka juga mengedarkan makanan tambahan, kontraseptif dan produk lain, merawat kanak-kanak yang menghidap penyakit biasa pada zaman kanak-kanak, atau menguruskan wanita yang bersalin tanpa komplikasi.

Apa yang dikatakan oleh penyelidikan

Kajian menerangkan pengalaman LHW, ibu, pengurus program dan pekerja kesihatan lain dengan program LHW. Banyak penemuan kami adalah berdasarkan kajian dari seting yang berbeza dan mempunyai beberapa masalah metodologi. Kami menilai penemuan ini mempunyai kepastian yang sederhana. Beberapa penemuan hanya berdasarkan satu atau dua kajian yang mempunyai beberapa masalah metodologi dan dinilai sebagai kepastian yang rendah.

Ibu-ibu secara amnya positif tentang program tersebut. Mereka menghargai kemahiran LHW dan persamaan yang mereka lihat antara mereka dan LHW. Walau bagaimanapun, sesetengah ibu bimbang tentang kerahsiaan apabila menerima lawatan ke rumah. Ibu lain melihat perkhidmatan LHW sebagai tidak relevan atau tidak mencukupi, terutamanya apabila LHW hanya menawarkan perkhidmatan promosi. LHW dan ibu menekankan kepentingan kepercayaan, rasa hormat, kebaikan dan empati. Walau bagaimanapun, LHW kadangkala mendapati ia sukar untuk menguruskan hubungan emosi dan sempadan dengan ibu. Sesetengah LHW takut dipersalahkan jika penjagaan kesihatan tidak berjaya. LHW lain berasa hilang semangat apabila jasa mereka tidak dihargai. Sokongan daripada sistem kesihatan dan pemimpin komuniti boleh memberi kredibiliti kepada LHW jika sistem kesihatan dan pemimpin komuniti ini mempunyai kuasa dan rasa hormat. Sokongan aktif daripada ahli keluarga juga penting.

Profesional kesihatan sering menghargai sumbangan LHW untuk mengurangkan beban kerja mereka, dan kemahiran komunikasi dan komitmen mereka. Walau bagaimanapun, sesetengah profesional kesihatan berpendapat bahawa LHW menambah beban kerja mereka sendiri dan takut kehilangan kuasa.

LHW didorong oleh altruisme, pengiktirafan sosial, perolehan pengetahuan dan pembangunan kerjaya. Sesetengah LHW tanpa gaji mahukan bayaran tetap. LHW lain bimbang bahawa bayaran mungkin mengancam status sosial mereka atau menyebabkan orang ramai mempersoalkan motif mereka. Sesetengah LHW bergaji tidak berpuas hati dengan tahap gaji mereka. Yang lain kecewa apabila LHW lain mempunyai gaji yang lebih tinggi. Sesetengah LHW berkata bahawa mereka mempunyai peluang yang sedikit untuk menyuarakan aduan.

Sesetengah LHW menerangkan program latihan yang tidak mencukupi, tidak berkualiti dan tidak relevan. Mereka meminta lebih banyak latihan dalam kaunseling dan komunikasi dan dalam topik di luar peranan semasa mereka, termasuk masalah kesihatan biasa dan masalah rumah tangga. LHW dan penyelia mengadu tentang kekurangan kemahiran, masa dan pengangkutan penyelia. Sesetengah LHW menghargai peluang untuk berkongsi pengalaman dengan LHW lain.

Sesetengah LHW adalah pembantu kelahiran tradisional yang telah menerima latihan tambahan. Sesetengah profesional kesihatan bimbang bahawa LHW ini terlalu yakin tentang keupayaan mereka untuk menguruskan tanda bahaya. LHW dan ibu mengenal pasti keengganan wanita untuk dirujuk selepas pengalaman buruk dengan profesional kesihatan, ketakutan terhadap pembedahan caesarean, kekurangan pengangkutan, dan kos. Sesetengah LHW juga enggan merujuk wanita kerana kerjasama yang lemah dengan profesional kesihatan.

Kami mengatur penemuan ini ke dalam rangkaian acara di mana kami telah mencadangkan bagaimana elemen program LHW tertentu boleh membawa kepada kejayaan program yang lebih besar.

Kesimpulan pengarang

Daripada dilihat sebagai pekerja kesihatan yang kurang terlatih, LHW mewakili jenis pekerja kesihatan yang berbeza dan kadangkala diutamakan. Hubungan yang rapat antara LHW dan penerima perkhidmatan mereka adalah kekuatan program sedemikian. Walau bagaimanapun, perancang program mesti mempertimbangkan bagaimana untuk mencapai faedah kedekatan sambil mengelakkan masalah. Ia juga mungkin penting untuk menawarkan perkhidmatan yang dianggap relevan oleh penerima; untuk memastikan sokongan tetap dan nyata daripada pekerja kesihatan dan pemimpin komuniti yang lain; dan untuk menawarkan latihan, penyeliaan dan insentif yang sesuai.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Tang Kar Foong (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiurd.edu.my

Tools
Information