Dos naltrexone rendah untuk rawatan penyakit Crohn aktif

Apakah itu penyakit Crohn?

Penyakit Crohn adalah satu keadaan keradangan kronik usus, yang boleh mempengaruhi orang dari mulut ke dubur. Gejala-gejala umum termasuk sakit perut, cirit-birit dan kehilangan berat badan. Orang dengan penyakit Crohn yang mengalami gejala mempunyai penyakit 'aktif'. Apabila gejala berhenti, ia dipanggil sebagai 'remisi'.

Apakah itu naltrexone?

Naltrexone adalah antagonis opioid yang bertindak lama Ia adalah ubat yang bertindak lawan kesan ubat opioid. Ubat ini biasanya digunakan untuk rawatan penyalahgunaan alkohol dan opioid dan diambil melalui mulut. Hormon tertentu (protein yang menghantar arahan dalam badan) yang diketahui terlibat dalam tindak balas sakit mungkin terlibat dalam keradangan yang mendasari penyakit Crohn. Mungkin dengan memberikan orang dos naltrexone yang rendah, penyakit Crohn dapat diperbaiki.

Apakah yang disiasat oleh penyelidik?

Para penyelidik mengkaji keberkesanan dan keselamatan (iaitu kesan sampingan) dos terapi naltrexone yang rendah untuk mendorong remisi dalam kalangan orang dengan penyakit Crohn aktif.

Apakah yang ditemui oleh para penyelidik?

Ulasan ini mengenal pasti dua kajian rawak terkawal kecil yang memasukkan sejumlah 46 peserta. Satu kajian membandingkan rawatan 12 minggu dengan dos naltrexone rendah (4.5 mg/hari) kepada plasebo (iaitu ubat palsu seperti pil gula) dalam 34 pesakit dewasa dengan penyakit Crohn aktif. Kajian satu lagi membandingkan rawatan lapan minggu dos naltrexone rendah (0.1 mg/kg sehingga maksimum 4.5 mg/hari) kepada plasebo dalam 12 kanak-kanak dengan penyakit Crohn aktif. Keputusan kedua-dua kajian adalah kurang tepat berkenaan perkadaran pesakit yang mencapaii remisi klinikal. Keputusan kajian pesakit dewasa mencadangkan dos naltrexone rendah mungkin memberi manfaat dari segi respons klinikal (iaitu gejala penyakit bertambah baik) dan respons endoskopik (iaitu pengurangan keradangan usus yang ditunjukkan dengan memeriksa usus dengan skop). Kami tidak dapat menyatankan sama ada dos naltrexone rendah membawa kepada kesan sampingan tertentu termasuk gangguan tidur, mimpi luar biasa, sakit kepala, kurang selera makan, mual dan keletihan kerana bilangan orang yang rendah mengalami masalah ini dalam kajian-kajian tersebut. Keputusan ulasan ini perlu ditafsir dengan berhati-hati kerana ia berdasarkan bilangan pesakit yang kecil dan kualiti keseluruhan bukti dinilai sebagai rendah akibat keputusan yang kurang tepat. Oleh itu, tiada kesimpulan kukuh boleh dibuat tentang keberkesanan dan profil kesan sampingan rawatan dos naltrexone rendah untuk pesakit dengan penyakit Crohn aktif. Kajian rawak terkawal lanjutan diperlukan untuk menilai keberkesanan dan kesan sampingan terapi dos naltrexone rendah bagi penyakit Crohn aktif dalam kalangan dewasa dan kanak-kanak.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information