Osteogenesis distraksi maksila berbanding pembedahan ortognatik untuk pesakit rekahan

Latar belakang

Rekahan bibir dan lelangit adalah kecacatan lahir yang sering berlaku dan menyebabkan kesukaran menyusu, pertuturan dan pendengaran serta masalah psikososial. Rawatan untuk rekahan seringkali berpanjangan, merangkumi masa dari lahir sehinggalah ke dewasa untuk menjadi lengkap. Pertumbuhan rahang atas dalam kalangan pesakit rekahan adalah sangat berbeza-beza, dan berlaku dalam peratusan yang agak tinggi, serta tidak terbentuk dengan sempurna. Sejenis pembedahan yang dinamakan pembedahan ortognatik yang melibatkan pemotongan tulang secara surgikal untuk mengatur semula rahang atas (osteotomi) sering dilakukan dalam situasi ini. Intervensi alternatif yang dikenali sebagai distraki osteogenesis yang dapat memanjangkan tulang dengan kaedah disktraksi mekanikal yang perlahan (memotong tulang dan memberi ruang serta menggerakkan bahagian hujung tulang secara sedikit demi sedikit untuk membolehkan tulang baru terbentuk di ruangan tersebut). Ulasan ini adalah kemaskini versi asal yang diterbitkan pada 2016.

Soalan ulasan

Ulasan yang dihasilkan oleh Kesihatan Oral Cochrane ini menilai manfaat dan risiko osteogenesis distraksi dalam memposisikan rahang atas berbanding dengan pembedahan ortognatik konvensional dalam kalangan remaja dan orang dewasa.

Ciri-ciri kajian

Bukti di mana ulasan ini didasarkan adalah terkini sehingga 15 Mei 2018. Kami mendapati enam artikel yang relevan untuk dimasukkan ke dalam ulasan ini. Semua artikel adalah berkaitan dengan sebuah kajian yang dijalankan di Hong Kong di antara 2002 dan 2008. Kajian melibatkan 47 peserta berumur 13 hingga 45 tahun. Kajian menyiasat kesan dua prosedur pembedahan dalam mengubah morfologi muka, kestabilan rahang atas selepas pembedahan, pertuturan dan fungsi velofarinks (keupayaan menutup ruang di antara lelangit lembut dan kaviti nasal untuk menghasilkan bunyi), status psikologi peserta dan kesan sampingan klinikal.

Keputusan utama

Kedua-dua prosedur berkesan untuk menghasilkan struktur muka yang lebih baik dalam kalangan pesakit rekahan. Rahang atas didapati lebih stabil di dalam kumpulan distraksi osetogenesis berbanding dengan kumpulan osteotomi konvensional selepas lima tahun pembedahan. Tiada perbezaan dalam pertuturan dan fungsi velofarinks di antara kedua-dua prosedur. Harga diri sosial didapati agak rendah pada mulanya dalam kumpulan distraksi maksila berbanding kumpulan surgeri konvensional, tetapi bertambah baik dan kumpulan distraksi menunjukkan kualiti hidup lebih tinggi sehingga dua tahun selepas pembedahan. Kesan sampingan termasuklah kemerosotan padanan di antara gigi apabila mulut ditutup serta jangkitan membran mukus hidung dan mulut, namun kekerapan masalah ini adalah sama di antara kedua-dua kumpulan. Tidak terdapat mudarat yang teruk dalam kalangan peserta.

Kualiti bukti

Kami menilai kualiti bukti sebagai sangat rendah. Kajian tunggal ini adalah kecil dan terdapat keraguan dari aspek reka bentuk dan laporan; oleh itu kami tidak mendapati bukti boleh percaya untuk menetapkan prosedur mana yang dianggap lebih baik. Kajian klinikal berkualiti tinggi, yang melibatkan lebih ramai orang dan pelbagai jenis bentuk muka diperlukan untuk membantu dalam membuat keputusan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my

Tools
Information
Share/Save