Sasaran tekanan darah dalam orang yang mempunyai penyakit kardiovaskular

Terjemahan ini tidak dikemas kini. Sila klik di sini untuk melihat versi Bahasa Inggeris terbaru Ulasan.

Soalan ulasan

Penyelidik menilai sama ada matlamat tekanan darah yang lebih rendah adalah lebih baik daripada matlamat tekanan darah piawaian bagi orang yang mempunyai tekanan darah tinggi yang juga mempunyai masalah jantung atau vaskular.

Latar belakang

Ramai orang yang mengalami masalah jantung atau vaskular (saluran darah dan sistem peredaran darah) juga mempunyai tekanan darah tinggi. Sesetengah garis panduan klinikal mencadangkan matlamat tekanan darah yang lebih rendah (135/85 mmHg atau lebih rendah) pada orang dengan masalah jantung atau vaskular berbanding dengan yang tiada (140 hingga 160 mmHg sistolik atau kurang dan 90 hingga 100 mmHg diastolik atau kurang adalah matlamat tekanan darah piawaian). Adalah tidak jelas jika matlamat yang lebih rendah membawa kepada manfaat kesihatan secara keseluruhannya.

Tarikh carian

Kami mencari bukti sehingga November 2019.

Ciri-ciri kajian

Untuk ulasan kemas kini ini, penyelidik melibatkan enam kajian dengan 9484 peserta yang diikuti selama antara setahun hingga 4.7 tahun. Penyelidik menganalisa data untuk mengesan perbezaan antara matlamat tekanan darah rendah dan standard dalam jumlah kematian dan kesan sampingan yang serius (yang membawa kepada kemasukan ke hospital).

Keputusan utama

Penyelidik mendapati sedikit hingga tiada perbezaan dalam jumlah kematian, kematian berpunca jantung atau vaskular antara pendekatan sasaran tekanan darah yang lebih rendah dan piawai. Penemuan serupa yang sedikit dan tiada perbezaan juga dijumpai untuk jumlah masalah jantung, atau masalah vaskular dan bahaya serius, tetapi buktinya kurang pasti. Berdasarkan maklumat yang sangat tidak pasti dan terhad, penyelidik mendapati lebih banyak keciciran akibat kemudaratan yang berkaitan dengan ubat dalam kumpulan sasaran tekanan darah yang lebih rendah dan tiada manfaat kesihatan secara keseluruhan di kalangan orang dalam kumpulan sasaran yang lebih rendah.

Kualiti bukti

Bukti yang dikenal pasti dalam ulasan ini tidak menyokong matlamat tekanan darah yang lebih rendah berbanding dengan matlamat standard pada orang dengan tekanan darah tinggi dan masalah jantung atau vaskular. Lebih banyak kajian baru diperlukan untuk menjawab soalan ini. Secara keseluruhan, kualiti bukti adalah sangat rendah hingga sederhana menurut penilaian GRADE (kaedah untuk menilai kajian klinikal dan membuat cadangan untuk ulasan dan garis panduan).

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my