"Serotonin" dan "norepinephrine reuptake inhibitor" untuk fibromyalgia

Kesimpulannya

Duloxetine dan milnacipran boleh mengurangkan kesakitan terhadap orang yang mengalami fibromyalgia. Walau bagaimanapun, sesetengah orang ini juga mungkin mengalami kesan sampingan, seperti loya (rasa sakit) dan mengantuk. Minoriti orang dengan fibromyalgia mengalami kelegaan gejala tanpa kesan sampingan dari duloxetine dan milnacipran.

Latar belakang

Orang dengan fibromyalgia sering mengalami kesakitan kronik (lebih daripada tiga bulan) yang meluas, serta masalah tidur, pemikiran dan keletihan. Mereka sering melaporkan kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan yang buruk. Tiada penawar untuk fibromyalgia pada masa ini, jadi rawatan bertujuan untuk melegakan gejala-gejala dan meningkatkan kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan.

Serotonin dan noradrenalin adalah bahan kimia yang dihasilkan oleh manusia, yang terlibat dalam kawalan sakit, tidur dan mood. Kepekatan serotonin yang rendah telah dilaporkan dalam orang dengan fibromyalgia. "Serotonin" dan "norepinephrine reuptake inhibitor" (SNRIs) adalah kelas antidepresan yang meningkatkan kepekatan serotonin dan noradrenalin dalam otak.

Ciri-ciri kajian

Pada bulan Ogos 2017, kami mengemas kini carian kami untuk kajian klinikal di mana SNRI digunakan untuk merawat gejala fibromyalgia pada orang dewasa. Kami mendapati lapan kajian baru semenjak versi ulasan sebelumnya. Secara keseluruhannya, kami mendapati terdapat 18 kajian dengan 7903 peserta. Kajiannya adalah empat hingga 27 minggu dan membandingkan SNRIs desvenlafaxine, duloxetine dan milnacipran terhadap ubat palsu (plasebo). Kami menilai kualiti bukti dari kajian-kajian menggunakan empat peringkat: sangat rendah, rendah, sederhana, atau tinggi. Bukti berkualiti sangat rendah bermakna kami sangat tidak pasti mengenai keputusan tersebut. Bukti yang berkualiti tinggi bermakna bahawa kami sangat yakin dengan hasilnya.

Keputusan utama dan kualiti bukti

Duloxetine dan milnacipran adalah lebih baik daripada plasebo dalam mengurangkan kesakitan sebanyak 50% atau lebih dan meningkatkan kesejahteraan keseluruhan (bukti berkualiti rendah). Duloxetine dan milnacipran adalah lebih baik daripada plasebo dalam meningkatkan kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan dan mengurangkan keletihan (bukti berkualiti rendah). Duloxetine dan milnacipran tidak lebih baik daripada plasebo dalam mengurangkan masalah tidur (bukti berkualiti rendah). Lebih ramai orang menarik diri daripada kajian akibat kesan sampingan duloxetine dan milnacipran daripada dengan plasebo (bukti berkualiti rendah). Lebih ramai orang melaporkan loya dan mengantuk dengan duloxetine dan milnacipran daripada dengan plasebo (bukti berkualiti rendah). Duloxetine, milnacipran dan plasebo tidak berbeza dalam kekerapan kesan sampingan yang serius (bukti berkualiti sangat rendah).

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information