Teknik untuk mengurangkan sakit semasa rawatan ortodontik tanpa penggunaan ubat tahan sakit.

Soalan ulasan

Rawatan ortodontik (pendakap gigi) boleh menyakitkan dalam tempoh seminggu atau lebih, terutama selepas pemasangan awal pendakap dan pelarasannya. Kami menilai merit kaedah untuk mengurangkan kesakitan semasa rawatan ortodontik tanpa penggunaan ubat tahan sakit.

Latarbelakang

Sakit adalah lazim semasa rawatan ortodontik dan boleh membuatkan sesetengah orang menamatkan rawatan lebih awal, menyebabkan manfaat yang dirancang tidak berlaku. Ubat tahan sakit disyorkan untuk mengurangkan sakit semasa rawatan ortodontik, tetapi penyelesaian tanpa ubat yang berkesan boleh mengurangkan risiko kesan sampingan dan membantu mereka meneruskan rawatan sepenuhnya.

Tarikh carian

Kami memasukkan kajian yang diterbitkan sebelum 6 Oktober 2016.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan 14 kajian melibatkan 931 remaja dan orang dewasa. Kajian menilai kesan penggunaan penyinaran laser oleh pakar ortodontik, peranti bergetar, mengubah pola mengunyah (pesakit mengunyah gula-gula getah atau wafer, musik gelombang otak, terapi tingkah laku kognitif, dan pesanan teks. Ukuran hasil utama adalah intensiti sakit jangka pendek yang dilaporkan oleh pesakit..

Keputusan utama

Kami mendapati tiada cukup bukti untuk menilai keberkesanan intervensi, tetapi bukti berkualiti rendah sedia ada mencadangkan penyinaran laser boleh membantu mengawal sakit ortodontik jangka pendek. Tiada di antara kajian-kajian tersebut mempertimbangkan kesan sampingan rawatan. Kami mengenal pasti sebilangan kecil kajian, yang menggunakan kaedah yang lemah atau tidak dilaporkan dengan baik. Lebih banyak kajian diperlukan untuk melihat merit kawalan sakit tanpa ubat boleh membantu. Kajian lanjutan patut mengukur sakit untuk jangkamasa lebih panjang dan kesan sampingan serta kos.

Kualiti bukti

Kualiti bukti tentang keberkesanan cara mengurangkan sakit ortodontik tanpa ubat adalah rendah hingga sangat rendah, oleh itu kami tidak boleh bergantung kepada hasil penemuan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my

Tools
Information