Manfaat dan mudarat program senaman berintensiti tinggi berbanding rendah untuk osteoartritis pinggul atau lutut

Soalan ulasan

Kami mencari literatur sehingga Jun 2014 untuk kajian mengenai manfaat dan kemudaratan program senaman berintensiti tinggi berbanding rendah untuk orang dengan osteoartritis pinggul atau lutut.

Latar belakang

Osteoartritis adalah masalah kronik yang mempengaruhi sendi (biasanya pinggul, lutut, tulang belakang, dan tangan). Lama kelamaan, tulang rawan merosot pada sendi. Pesakit yang menderita osteoartritis secara amnya merasa sakit dan boleh menghadapi kesukaran untuk melakukan aktiviti harian seperti berjalan kaki. Program senaman atau aktiviti fizikal adalah rawatan selain ubat yang biasanya disyorkan untuk orang yang menderita osteoartritis pinggul atau lutut. Terdapat banyak jenis latihan yang ditentukan, tetapi masih belum jelas sama ada ia berkesan atau tidak. Beberapa komponen yang berbeza dapat memainkan peranan dalam keberkesanan latihan, seperti jangka waktu latihan, frekuensi, atau tahap daya tahan. Intensiti tinggi dapat didefinisikan sebagai jumlah waktu tambahan (tempoh atau kekerapan) atau daya tahan (kekuatan atau usaha) yang diperlukan dalam program latihan.

Ciri-ciri kajian

Kami mengenal pasti enam kajian secara rawak terkawal dengan 656 peserta. Lima kajian (620 peserta) mengambil peserta dengan osteoartritis lutut, dan satu kajian (36 peserta) mengambil peserta dengan osteoartritis lutut atau pinggul. Kajian itu melibatkan lebih banyak wanita (70%) daripada lelaki.

Keputusan utama

Pada skala 0 hingga 20 mata (skor yang lebih rendah bermaksud tahap kesakitan yang lebih rendah), peserta yang menyelesaikan program senaman intensiti tinggi menilai kesakitan mereka 0.84 mata lebih rendah (peningkatan mutlak 4%) berbanding peserta yang menyelesaikan program senaman intensiti rendah. Peserta yang melakukan program senaman intensiti rendah menilai kesakitan mereka pada 6.6 mata.

Pada skala 0 hingga 68 mata (skor yang lebih rendah bermaksud fungsi yang lebih baik), peserta yang menyelesaikan program senaman intensiti tinggi menilai fungsi fizikal mereka 2.65 mata lebih rendah (peningkatan mutlak 4%) berbanding peserta yang menyelesaikan program senaman intensiti rendah. Peserta yang melakukan program senaman intensiti rendah menilai kesakitan mereka pada 20.4 mata.

Pada skala 0 hingga 200 mm skala visual analog (skor yang lebih tinggi bermaksud fungsi yang lebih baik), peserta yang menyelesaikan program senaman intensiti tinggi menilai kualiti hidup mereka 4.3 mm lebih tinggi (6.5 mm lebih rendah ke 15.2 mm lebih tinggi) (peningkatan mutlak 2%) berbanding peserta yang menyelesaikan program senaman intensiti rendah. Peserta yang melakukan program senaman intensiti rendah menilai kualiti hidup mereka pada 66.7 mm.

Dua peratus lebih ramai peserta mengalami kesan buruk dari senaman intensiti tinggi, atau 17 orang lebih daripada 1000 orang.

• 39 daripada 1000 peserta melaporkan kesan buruk yang berkaitan dengan program senaman intensiti tinggi

• 22 daripada 1000 peserta melaporkan kesan buruk yang berkaitan dengan program senaman

Kejadian buruk tidak dipantau secara sistematik dan tidak dilaporkan dengan lengkap oleh kumpulan tersebut. Tiada kajian yang dimasukkan melaporkan kejadian buruk yang teruk.

Berdasarkan bukti, peserta dengan osteoartritis lutut yang melakukan senaman berintensiti tinggi mungkin mengalami sedikit perubahan pada sakit lutut dan fungsi pada akhir program senaman (8 hingga 24 minggu) jika dibandingkan dengan program senaman berintensiti rendah. Kami tidak pasti sama ada senaman intensiti tinggi meningkatkan kualiti hidup atau meningkatkan jumlah orang yang mengalami kejadian buruk.

Kualiti bukti

Kami menilai kualiti bukti rendah untuk kesakitan dan fungsi dan sangat rendah untuk kualiti hidup. Sebilangan kecil kajian dan peserta yang disertakan dalam beberapa analisis mengurangkan ketahanan dan ketepatan penemuan ini.

Kesan buruk tidak dilaporkan dengan baik. Bukti kualiti yang sangat rendah menunjukkan bahawa kami tidak pasti sama ada program senaman intensiti lebih tinggi boleh menyebabkan lebih banyak kesan sampingan daripada program senaman intensiti lebih rendah. Kajian lanjut mungkin boleh mengubah keputusan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information