Adakah tusukan kulit lebih baik daripada pendedahan langsung arteri femoral dalam pembaikan invasif minimum aneurisma aorta abdomen?

Mesej utama

– Kami tidak dapat menemui bukti berkualiti tinggi yang mencukupi untuk membuat kesimpulan kukuh sama ada penusukan kulit ataupun pendedahkan langsung arteri femoral adalah lebih baik dalam pembaikan invasif minimum aneurisma aorta abdomen.

– Tusukan kulit mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada kematian jangka pendek. Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam kegagalan menutup aneurisme, jangkitan luka, komplikasi utama dalam tempoh 30 hari atau semasa di hospital, komplikasi jangka sederhana hingga panjang (enam bulan) dan komplikasi pendarahan antara kedua-dua kumpulan. Berbanding dengan mendedahkan arteri femoral, tusukan kulit mungkin mengurangkan sedikit masa pembedahan.

– Kajian yang lebih besar dan direka dengan baik diperlukan untuk memberikan anggaran yang lebih baik tentang faedah dan potensi bahaya dua kaedah akses yang berbeza untuk pembaikan invasif minimum aneurisma aorta abdomen.

Apakah itu aneurisma aorta abdomen?

Aneurisma aorta abdomen adalah penggelembungan pada dinding saluran darah terbesar dalam perut, iaitu aorta abdomen, disebabkan oleh kelemahan pada lapisan dinding saluran darah itu. Penggelembungan dinding aorta ini boleh membawa kepada pecah yang mengancam nyawa. Prosedur pembaikan aneurisme disarankan jika risiko pemecahan gelembung itu lebih besar daripada risiko manjalani pembedahan.

Bagaimanakah aneurisma aorta abdomen dirawat?

Kebanyakan prosedur pembaikan melibatkan pemasangan graf buatan, iaitu suatu saluran yang diperbuat fabrik, untuk menguatkan dinding arteri. Terdapat dua kaedah utama untuk pembaikan. Salah satunya adalah teknik terbuka di mana seluruh abdomen dibuka dan graf digunakan untuk menggantikan bahagian saluran darah yang berpenyakit. Teknik yang lagi satu ialah kaedah pembaikan aneurisma secara endovaskular. Dengan teknik invasif minimum ini, graf dimasukkan ke dalam aorta abdomen melalui arteri di pangkal paha (arteri femoral) mengelakkan hirisan perut yang besar. Ulasan ini menyiasat kaedah alternatif untuk memasukkan graf ke dalam arteri femoral, iaitu pendekatan secara perkutaneus. Daripada membuat hirisan di pangkal paha untuk mendedahkan arteri femoral (potongan ke bawah), jarum dimasukkan ke dalam arteri femoral dan wayar panduan fleksibel dimasukkan melalui jarum. Jarum itu akan dikeluarkan dan tiub plastik akan dimasukkan ke dalam arteri femoral berpandukan wayar panduan (akses perkutaneus), dengan potongan kecil pada kulit untuk membolehkan laluan tiub plastik. Setelah tiub itu sudah dimasukkan, wayar pemandu tadi boleh dikeluarkan, lalu tiub plastik itu akan ditinggalkan di dalam arteri. Graf buatan dan bahan-bahan lain kemudiannya boleh dimasukkan ke dalam arteri melalui tiub plastik tadi. Setelah prosedur sudah selesai, tiub itu boleh ditanggalkan. Hirisan di permukaan kulit tadi biasanya boleh dijahit tutup dengan satu jahitan.

Apakah yang kami ingin ketahui?

Adakah tusukan kulit lebih baik daripada pendedahan langsung arteri femoral dalam pembaikan invasif minimum aneurisma aorta abdomen.

Apa yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian yang melibatkan pesakit yang menghidap aneurisma aorta abdomen yang telahpun dirawat dengan pendekatan pembaikan invasif minimum. Kajian-kajian ini memilih peserta secara rawak untuk dirawat menggunakan pendekatan pembaikan invasif minimum dengan tusukan kulit ataupun pendedahan langsung arteri femoral. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian-kajian itu, dan menilai keyakinan kami terhadap mutu bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti perkaedahan kajian dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui tiga kajian yang melibatkan 318 orang dengan aneurisma aorta abdomen dan telah dirawat dengan pendekatan pembaikan invasif minimum menggunakan tusukan kulit ataupun teknik pendedahan langsung arteri femoral. Kami mempunyai sedikit keyakinan bahawa tiada perbezaan dalam kematian jangka pendek dan cukup yakin bahawa tiada perbezaan dalam kegagalan untuk menutup aneurisma, jangkitan luka, komplikasi utama dalam tempoh 30 hari atau semasa di hospital, jangka sederhana hingga panjang ( enam bulan) komplikasi dan komplikasi pendarahan. Kami mempunyai sedikit keyakinan bahawa tusukan kulit mengurangkan sedikit masa pembedahan.

Apakah batasan bukti?

Kami mempunyai keyakinan sederhana hingga sedikit terhadap bukti kerana keputusannya tidak tepat kerana bilangan peserta yang kecil dan kadar acara yang rendah, dan kajian menggunakan pelbagai jenis peranti untuk menyampaikan cantuman buatan.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Ulasan ini mengemaskini ulasan Cochrane yang terdahulu. Bukti adalah terkini setakat April 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information