Kanula nasal aliran tinggi untuk sokongan respiratori dalam kalangan pesakit rawatan rapi dewasa

Latar belakang

Alasan lazim untuk kemasukan unit rawatan rapi (ICU) adalah keperluan untuk sokongan pernafasan (atau respiratori) . HFNC adalah tiub plastik kecil di dalam lubang hidung yang menyalurkan campuran udara dan oksigen panas pada kadar aliran tinggi kepada pesakit yang memerlukan sokongan pernafasan. Ia sering diguna di ICU, namun tiada bukti jelas yang menunjukkan sama ada ia menyediakan manfaat jangka panjang kepada pesakit seperti pengurangan tempoh inap di ICU atau penambahbaikan peluang survival.

Ciri-ciri kajian

Bukti adalah terkini sehingga Mac 2016. Kami memasukkan dalam ulasan 11 kajian dengan 1972 peserta. Kebanyakan peserta mengalami kegagalan pernafasan, atau baru sahaja dikeluar dari mesin pernafasan tiruan. Kajian-kajian yang dimasukkan membandingkan HFNC dengan oksigen aliran rendah yang diberi melalui topeng muka, melalui kanula aliran rendah, atau melalui peranti yang menggunakan tekanan ringan untuk membantu pengaliran oksigen. Kami mengulangi carian pada Disember 2016 dan akan mengurus kajian-kajian yang relevan apabila kami mengemaskini ulasan.

Keputusan utama

Kami mendapati tiada bukti HFNC mengurangkan kadar kegagalan rawatan atau risiko kematian berbanding peranti oksigen aliran rendah. Kami tidak menemui bukti kelebihan HFNC dari segi kadar kejadian buruk, tempoh inap ICU, atau tempoh bantuan respiratori. Kami mendapati tiada perbezaan dalam paras oksigen atau karbon dioksida darah peserta, dan sebarang perbezaan dalam kadar pernafasan adalah kecil dan tidak dianggap penting secara klinikal. Kajian-kajian tidak melaporkan perbezaan ukuran keselesaan oleh pesakit. Hanya satu kajian mendapati bukti kurang mulut kering apabila HFNC digunakan.

Kualiti bukti

Kebanyakan kajian tidak melaporkan kaedah dengan lengkap, dan kami tidak tahu sama ada risiko bias mungkin mempengaruhi keputusan kajian. Kami mengenal pasti beberapa kajian yang relevan dan mendapati perbezaan alasan yang memerlukan sokongan respiratori di antara peserta di dalam kajian-kajian tersebut. Kami menggunakan sistem GRADE untuk menilai bukti bagi setiap hasil, dan kami menilai semua bukti sebagai berkualiti rendah atau sangat rendah.

Kesimpulan

Kami tidak dapat mengumpul cukup bukti daripada kajian-kajian berkualiti baik untuk menentukan sama ada HFNC menawarkan cara yang selamat dan berkesan untuk memberi sokongan respiratori bagi orang dewasa di ICU.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Mnaipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi linoby@uitm.edu.my

Tools
Information
Share/Save