Ujian kalsitonin bagi mengesan kanser tiroid medula pada pesakit dengan nodul tiroid

Soalan ulasan

Berapakah nilai ujian kalsitonin untuk diagnostik kanser tiroid medulla pada orang dengan nodul tiroid?

Latar belakang

Nodul tiroid adalah perkara biasa di kalangan populasi umum. Dalam sesetengah orang, nodul ini boleh berubah menjadi karsinoma tiroid medula, yang merupakan tumor kelenjar tiroid yang jarang berlaku. Kalsitonin adalah salah satu hormon yang dihasilkan oleh kelenjar tiroid. Tetapi dalam sebahagian besar pesakit dengan kanser tiroid medula, tahap kalsitonin meningkat. Oleh itu ia boleh digunakan sebagai penanda tumor sensitif. Dalam kes tertentu, pengeluaran kalsitonin oleh tumor boleh dirangsang dalam ujian rangsangan untuk membezakan dengan lebih tepat antara pengeluaran kalsitonin oleh tumor atau sebab-sebab lain. Walau bagaimanapun, tidak ada konsensus samada ujian kalsitonin harus digunakan secara rutin dalam semua orang yang mempunyai nodul tiroid. Kami menilaikan sastera yang sedia ada untuk menangani ketepatan ujian kalsitonin dalam orang dengan nodul tiroid untuk mengesan karsinoma tiroid medula.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari bukti dalam kesusasteraan sehingga Jun 2018 dan mengenal pasti sejumlah 16 kajian. Kajian ini termasuk ujian kalsitonin rutin (dengan atau tanpa ujian rangsangan) yang telah dijalankan diantara semua orang yang mengalami penyakit nodul tiroid.

Keputusan utama

Secara keseluruhan, 72,638 orang yang mengalami penyakit nodul tiroid, telah didaftarkan dalam kajian analisa ini, di mana 187 orang pesakit mengalami penyakit karsinoma tiroid medula. Penemuan kami menunjukkan bahawa kedua-dua ujian basal dan rangsangan kalsitonin boleh mengesan hampir semua orang dengan penyakit karsinoma tiroid medula. Walau bagaimanapun, oleh sebab penyakit karsinoma tiroid medula sangat jarang terjadi pada orang dengan tiroid nodul, ada kemungkinan besar kadar kalsitonin adalah positif palsu (iaitu ujian menunjukkan penyakit, sedangkan sebenarnya tiada).

Secara praktik, ini bermakna bahawa bagi setiap 10,000 orang yang mempunyai penyakit nodul tiroid, 23 orang akan mempunyai penyakit karsinoma tiroid medula. Daripada pesakit ini, tiada yang akan terlepas menggunakan kalsitonin basal ambang 10 pg/mL, manakala 280 orang akan mempunyai keputusan ujian palsu-positif. Ini mungkin membawa kepada pembedahan tiroid yang tidak diperlu dan yang akan mengakibatkan keperluan hormon tiroid sepanjang hayat dan risiko komplikasi. Melalui penggunaan ujian rangsangan, peluang keputusan ujian palsu-positif boleh dikurangkan. Walau bagaimanapun disebabkan oleh kajian yang tidak mencukupi, ini tidak dapat dikira.

Kepastian bukti

Kepastian bukti yang penting adalah terhad, kerana hampir semua kajian tidak melaporkan dengan secukupnya tentang keputusan orang yang mendapati ujian kalsitonin negatif. Beberapa pesakit yang mengalami penyakit karsinoma tiroid medula mungkin tidak dikenalpasti. Ketepatan diagnostik terjejas dengan ketara apabila sebilangan kecil pesakit tidak dikenalpasti kerana penyakit tiroid medula adalah sangat jarang berlaku.

Kesimpulan

Berdasarkan sastera yang ada, tidak ada bukti yang mencukupi untuk ujian kalsitonin rutin pada semua orang yang mengalami nodul tiroid. Kajian lanjut adalah diperlukan, dengan laporan yang mencukupi mengenai orang yang mempunyai ujian kalsitonin negatif. Ini adalah untuk menentukan peranan ujian kalsitonin diantara orang dengan tiroid nodul bagi mengesan penyakit karsinoma tiroid medula.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Teh Keng Hwang (UniSHAMS). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information