Suplemen makanan untuk gout kronik

Apakah gout dan suplemen makanan?

Gout disebabkan oleh tahap asid urik yang tinggi dalam darah dan membentuk kristal dalam sendi. Orang mengalami serangan gout mengalami sakit, bengkak dan panas sendi terutamanya pada ibu jari kaki. Sesetengah orang mengalami pengumpulan kristal yang banyak yang dikenali sebagai tophi di bawah kulit. Kesembuhan boleh diperolehi jika paras asid urik dalam darah kembali normal untuk tempoh yang lama, kerana ia menyebabkan deposit kristal mencair.

Suplemen makanan adalah bahan seperti vitamin, mineral, prebiotik, dan lain-lain Beberapa kajian telah menilai manfaat mereka dan sesetengah mungkin berbahaya.

Ciri-ciri kajian

Selepas mencari literatur perubatan hingga 6 Jun 2013, kami memperolehi dua kajian. Kajian pertama (120 orang peserta) membandingkan serbuk susu skim yang diperkaya (dengan peptida yang mungkin mempunyai kesan anti-radang) dengan susu skim standard dan serbuk laktosa, dan kajian kedua ( 40 orang peserta) membandingkan vitamin C dengan allopurinol - sejenis ubat yang biasa digunakan dalam gout. Dalam kajian pertama, susu yand diperkaya bertujuan mengurangkan kekerapan serangan gout, manakala dalam kajian kedua, vitamin C bertujuan mengurangkan tahap asid urik dalam darah. Kebanyakan peserta gout yang mendaftar dalam kedua-dua kajian adalah lelaki pertengahan umur; dalam kajian susu skim, peserta gout menunjukkan keadaan yang teruk kerana mereka mempunyai serangan yang sangat kerap dan 20% hingga 43% menunjukkan tophi, manakala dalam kajian vitamin C, peserta biasa menunjukkan keadaan yang sama dengan peserta gout.

Keputusan utama - apa yang berlaku kepada orang dengan gout yang mengambil susu tepung skim yang diperkaya

Serangan gout

Mereka yang mengambil susu tepung skim yang diperkaya mempunyai 0.21 kurang serangan gout sebulan pada bulan ketiga (daripada 0.76 kurang sehingga 0.34 lebih), atau 2.5 kurang serangan gout setiap tahun:

Mereka yang mengambil susu tepung skim yang diperkaya mempunyai 0.49 serangan gout sebulan (atau enam serangan gout setiap tahun).

Mereka yang mengambil susu tepung skim standard yang diperkaya atau laktosa mempunyai 0.70 serangan gout sebulan (atau lapan serangan gout setiap tahun).

Penarikan diri oleh peserta disebabkan kesan-kesan sampingan

Lebih 4 daripada 100 orang yang mengambil susu tepung skim yang diperkaya berhenti pengambilan suplemen pada bulan ketiga (4% lebih penarikan diri).

18 daripada 100 orang berhenti mengambil serbuk susu skim yang diperkaya.

14 daripada 100 orang berhenti mengambil susu tepung skim standard atau laktosa.

Pengurangan kesakitan, tahap serum asid urik (sUA) dan fungsi fizikal tidak menentu. Kesan terhadap regresi tophus tidak diukur.

Apa yang berlaku kepada penghidap gout yang mengambil vitamin C

Tahap serum asid urik

Orang yang mengambil vitamin C menunjukkan tahap pengurangan sUA sebanyak 0.014 mmol/L selepas lapan minggu (atau 2.8% pengurangan sUA)

Orang yang diberikan allopurinol menunjukkan tahap pengurangan sUA sebanyak 0.118 mmol/L selepas lapan minggu (atau 23.6% pengurangan sUA)

Tiada laporan kesan sampingan atau penarikan diri disebabkan oleh kesan sampingan dalam kumpulan vitamin C atau kumpulan rawatan allopurinol.

Kesan vitamin C pada serangan gout, pengurangan kesakitan, fungsi fizikal dan regresi tophus tidak diukur.

Kualiti bukti

Kualiti bukti yang rendah daripada satu kajian menunjukkan apabila susu skim yang diperkaya dibandingkan dengan susu skim standard atau serbuk laktosa, kekerapan serangan gout tidak berkurang dan mungkin tidak meningkat dalam fungsi fizikal atau paras asid urik, tetapi ia boleh mengurangkan kesakitan. Kajian lanjut mungkin mengubah anggaran ini. Kami tidak mempunyai maklumat yang tepat mengenai kesan-kesan sampingan dan komplikasi, tetapi loya atau cirit-birit mungkin terlibat sebagai kesan sampingan.

Berbanding dengan ubat allopurinol yang biasa digunakan, kualiti bukti yang rendah daripada satu kajian menunjukkan kesan vitamin C dalam mengurangkan tahap sUA adalah lebih kecil dan mungkin tidak penting dalam aspek klinikal. Manfaat-manfaat lain daripada vitamin C tidak menentu kerana mereka tidak dinilai dalam kajian ini. Tiada kesan sampingan dilaporkan. Kajian lanjut mungkin mengubah anggaran ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Ng Chia Shyn (International Medical University). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Ng.ChiaShyn@student.imu.edu.my

Tools
Information
Share/Save