Kortikosteroid sedut dan peranti penyedutan yang manakah mempunyai kesan yang paling kurang terhadap tumbesaran kanak-kanak dengan asma?

Soalan Ulasan

Pengulas mengkaji bukti mengenai sedutan kortikosteroid dan peranti penyedutan yang memberikan impak yang paling sedikit terhadap tumbesaran kanak-kanak dengan asma.

Latar belakang

Kortikosteroid sedut (ICS) adalah rawatan yang paling berkesan untuk kanak-kanak dengan asma berterusan. Asma berterusan adalah asma yang lebih teruk serta memerlukan penggunaan ubat-ubatan harian untuk mengawal simptom. Walaupun rawatan dengan ICS secara amnya dianggap selamat untuk kanak-kanak, penggunaan harian ubat-ubatan ini dalam tempoh masa yang panjang boleh menyebabkan pengurangan tumbesaran. Kesan terhadap tumbesaran mungkin bergantung kepada jenis steroid dan peranti penghantaran.

Ciri-ciri kajian

Dalam ulasan ini, pengulas menyertakan kajian yang membandingkan sama ada ubatan kortikosteroid sedut atau peranti penyedutan yang berbeza, selama sekurang-kurangnya tiga bulan dalam kalangan kanak-kanak berumur dari 4 hingga 12 tahun dengan asma berterusan yang ringan ke sederhana. Mereka menjumpai enam kajian yang melibatkan 1199 orang, dan menyertakan maklumat daripada 1008 orang dalam analisis mereka. Empat kajian membandingkan ubat fluticasone sama ada dengan beclomethasone atau budesonide. Dua kajian membandingkan peranti penyedutan yang berbeza. Empat kajian telah dijalankan di lebih daripada dua pusat yang berbeza (kajian pelbagai pusat). Kajian pelbagai pusat dibiayai oleh syarikat industri yang mengeluarkan ubat-ubatan atau peranti.

Ulasan sistematik ini tidak mamasukkan kanak-kanak dengan asma berterusan yang dirawat dengan ICS selain daripada beclomethasone, budesonide dan fluticasone, atau ICS yang digabungkan dengan ubat-ubatan yang dikenali sebagai Beta 2 -agonis jangka panjang (LABA). Oleh itu, bukti yang diperolehi daripada ulasan ini tidak dapat diaplikasikan kepada golongan ini.

Keputusan utama

Satu kajian dengan 23 orang menunjukkan bahawa fluticasone mempunyai kurang kesan negatif terhadap tumbesaran kanak-kanak berbanding dengan beclomethasone (bukti kepastian yang rendah). Tiga kajian membandingkan fluticasone dan budesonide, dan menunjukkan keputusan yang berbeza. Gabungan keputusan daripada dua kajian dengan 359 orang mencadangkan fluticasone mempunyai kurang kesan negatif terhadap ketinggian kanak-kanak berbanding dengan budesonide (bukti kepastian yang sederhana), manakala gabungan keputusan daripada dua lagi kajian dengan 236 orang mendedahkan kadar tumbesaran yang serupa (purata peningkatan ketinggian setahun) antara fluticasone dan budesonide (bukti kepastian yang sangat rendah).

Dua kajian membandingkan peranti penyedutan. Satu kajian disertai 212 orang menunjukkan kadar tumbesaran yang sama antara beclomethasone yang diberikan dengan penyedut dos bermeter-hydrofluoroalkan (HFA-MDI) pada separuh dos, dan beclomethasone yang diberikan dengan alat penyedut dos bermeter-klorofluorokarbon (CFC-MDI) (bukti kepastian rendah). Satu lagi kajian disertai 229 orang menunjukkan bahawa budesonide yang diberikan dengan Easyhaler mempunyai kurang kesan negatif terhadap ketinggian kanak-kanak dalam tempoh enam bulan, berbanding dengan budesonide yang diberikan pada dos yang sama melalui Turbuhaler (bukti kepastian rendah).

Kepastian bukti

Pengulas menilai kepastian bukti dalam ulasan ini dalam julat daripada sangat rendah kepada sederhana, terutamanya kerana bilangan kajian dan orang yang kecil, kajian yang berkualiti rendah, dan pembiayaan industri yang mungkin mempengaruhi laporan keputusan kajian. 'Kepastian sangat rendah' bermakna bahawa mereka sangat tidak pasti tentang keputusan, manakala 'kepastian sederhana' bermakna penyelidikan lanjut mungkin mempunyai impak yang penting ke atas keputusan dan boleh mengubah kesimpulan semasa.

Kesimpulan

Jenis ubat-ubatan dan peranti penyedutan boleh menjejaskan saiz kesan negatif ICS terhadap tumbesaran kanak-kanak dengan asma berterusan. Fluticasone kelihatan kurang merencatkan tumbesaran daripada beclomethasone dan budesonide. Easyhaler mungkin mempunyai kurang kesan negatif terhadap tumbesaran daripada Turbuhaler apabila digunakan untuk memberikan budesonide. Walau bagaimanapun, bukti daripada kajian ini tidak cukup ketentuan untuk membantu orang memilih jenis sedutan kortikosteroid atau peranti penyedutan untuk digunakan untuk rawatan kanak-kanak dengan asma. Kajian lanjut adalah diperlukan.

Manfaat yang sudah sedia diketahui berkenaan ICS dalam pengawalan asma melebihi potensi risiko penyekatan tumbesaran yang secara relatifnya agak kecil. Ketakutan terhadap kesan sampingan ubatan bererti sesetengah kanak-kanak tidak mengambil sedutan steroid mereka seperti yang ditetapkan, lantas mengakibatkan kawalan asma yang lemah. Asma yang tidak terkawal turut boleh menjejaskan tumbesaran kanak-kanak, dan boleh menyebabkan morbiditi dan mortaliti yang ketara. Komunikasi yang baik antara profesional penjagaan kesihatan dengan ibu bapa adalah penting untuk mengurangkan kebimbangan mereka tentang pengunaan steroid dan untuk meningkatkan pematuhan rawatan.

Ulasan ini adalah terkini hingga April 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Manisha Coran (RCSI-UCD Malaysian Campus). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi manisha@ms.pmc.edu.my. Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my)

Tools
Information