Adakah kesan penurunan tekanan darah oleh penyekat beta dengan aktiviti agonis separa konsisten atau berubah sepanjang hari?

Soalan ulasan

Ulasan ini meneroka sama ada kesan penurunan tekanan darah oleh penyekat beta dengan aktiviti agonis separa adalah konsisten atau berubah sepanjang hari dalam kalangan orang dewasa dengan tekanan darah tinggi (bacaan tekanan darah atasan sekurang-kurangnya 140 mmHg, bacaan tekanan darah bawahan sekurang-kurangnya 90 mmHg, atau kedua-duanya).

Latar belakang

Tekanan darah tinggi, juga dikenali sebagai hipertensi, adalah sangat lazim dalam populasi umum, dan jika tidak dirawat, boleh meningkatkan risiko strok dan penyakit jantung. Dalam seorang individu, tekanan darah secara tabii berbeza sepanjang hari. Ia paling rendah pada waktu malam, meningkat sebelum bangun, dan menurun secara progresif pada waktu siang. Perubahan kepada pola variasi didapati merupakan faktor risiko untuk penyakit jantung, tidak bergantung kepada kadar kenaikan tekanan darah.

Penyekat beta biasanya digunakan dalam rawatan tekanan darah tinggi. Pada masa ini, pengulas tidak mengetahui sama ada penyekat beta menurunkan tekanan darah ke tahap yang berbeza pada waktu yang berbeza, dan bagaimana ini berbeza apabila dibandingkan dengan kelas ubat yang lain untuk merawat tekanan darah tinggi. Ulasan ini menumpukan pada kelas penyekat beta tertentu - iaitu yang mempunyai aktiviti agonis separa (molekul yang melakukan kedua-duanya, iaitu mengaktif dan menghalang reseptornya).

Tarikh carian

Pengulas mencari literatur saintifik sedia ada, dan menyertakan kajian yang relevan sehingga Jun 2020.

Ciri-ciri kajian

Pengulas mencari kajian yang meneliti kesan penurunan tekanan darah oleh rawatan dengan enam penyekat beta dengan aktiviti agonis separa pada waktu yang berbeza sepanjang tempoh 24 jam, diukur dengan alat yang secara automatik mengukur tekanan darah pada selang waktu yang tetap (pemantauan ambulatori).

Keputusan utama

Pengulas mengenal pasti tujuh kajian, melibatkan 121 peserta, yang mengkaji tiga daripada enam penyekat beta dengan aktiviti agonis separa (acebutolol, pindolol, dan bopindolol). Mereka mendapati penyekat beta ini menurunkan tekanan darah dan degupan jantung lebih banyak pada waktu siang dan petang daripada waktu malam. Pada masa ini, pengulas tidak mengetahui manfaat dan kemudaratan pola penurunan tekanan darah ini, seperti kesannya terhadap mengurangkan strok dan penyakit jantung.

Kepastian bukti

Hanya sebilangan kecil kajian yang layak dikenal pasti, melibatkan bilangan peserta yang agak sedikit Pengulas menilai sebahagian besar kajian mempunyai risiko bias yang tinggi atau tidak jelas. Mereka menilai kepastian bukti keseluruhan sebagai sangat rendah untuk semua hasil. Penyelidikan lebih lanjut berkemungkinan mempunyai kesan yang penting terhadap anggaran kesan dan mungkin mengubah kesimpulan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save