Kalsium tambahan untuk pencegahan tekanan darah tinggi

Soalan ulasan

Kami ingin mengetahui kesan pengambilan kalsium pada tekanan darah dalam orang yang mempunyai tekanan darah normal.

Latar belakang

Hipertensi adalah masalah kesihatan serius yang meningkatkan risiko penyakit jantung dan buah pinggang. Beberapa kajian menunjukkan bahawa meningkatkan pengambilan kalsium mengurangkan tekanan darah walaupun pada individu yang mempunyai tekanan darah normal. Meningkatkan pengambilan kalsium juga mempunyai manfaat untuk hasil kehamilan, kesan yang dianggap dibawa oleh pengurangan tekanan darah. Tekanan darah tinggi telah dikenal pasti sebagai faktor risiko utama kematian dan pengurangan yang kecil dalam tekanan darah boleh mengurangkan kejadian penyakit arteri koronari, strok dan kematian.

Ciri-ciri kajian

Kami memilih kajian yang menilai kesan intervensi diet kalsium seperti suplemen atau makanan diperkuatkan pada tekanan darah dalam kalangan orang yang normotensif pada semua peringkat umur. Carian terakhir dijalankan pada September 2020.

Penemuan utama

Kajian ini telah menganalisa maklumat daripada 20 kajian yang mana 18 kajian (3140 peserta) memberikan tarikh untuk kesan intervensi. Kami mendapati bahawa peningkatan dalam pengambilan kalsium telah mengurangkan sedikit kedua-dua tekanan darah sistolik dan diastolik sebanyak 1.37 mmHg lebih rendah dan sebanyak 1.45 mmHg lebih rendah, masing-masing. Kesan ini adalah lebih tinggi dengan dos kalsium yang melebihi 1000 mg/hari. Tekanan darah sistolik telah dikurangkan sebanyak 1.05 mmHg dengan dos kalsium 1000 hingga 1500 mg/hari dan sebanyak 2.79 mmHg dengan dos kalsium bersamaan atau lebih 1500 mg/hari.

Kami mendapati pengurangan tekanan darah dalam kedua-dua lelaki dan wanita dan pada usia dari 11 hingga 82 tahun, tetapi pengurangan itu lebih besar dalam kalangan orang yang lebih muda. Tekanan darah sistolik dikurangkan sebanyak 1.86 mmHg dalam kalangan mereka yang berumur kurang daripada 35 tahun dan sebanyak 0.97 mmHg dalam kalangan mereka yang berumur 35 tahun atau lebih.

Tiada kajian yang melaporkan kejadian buruk. Kami memerlukan kajian lanjut untuk menentukan dos suplemen yang ideal dan sama ada ia lebih berkesan dan selamat sebagai sebahagian daripada diet atau sebagai suplemen.

Kualiti bukti

Kami menemui bukti berkualiti tinggi untuk tekanan darah sistolik dan diastolik dalam kedua-dua lelaki dan wanita. Kualiti bukti juga adalah tinggi untuk peserta berumur 35 tahun ke atas dan sederhana untuk orang muda.

Kualiti bukti adalah tinggi untuk dos kalsium 1000 hingga 1500 mg/hari dan sederhana untuk dos yang lebih rendah atau lebih tinggi.

Lima daripada 18 kajian adalah dibiayai oleh industri.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information