Asid lemak omega-3 untuk mencegah dan melambatkan proses degenerasi makular disebabkan usia

Soalan ulasan
Kami bertanyakan soalan sama ada meningkatkan pengambilan diet yang mengandungi asid lemak omega-3 mencegah atau melambatkan proses degenerasi makular disebabkan usia.

Latar belakang
Degenerasi makular disebabkan usia (age-related macular degeneration, AMD) ialah kondisi mata yang menjejaskan bahagian tengah retina (tisu di belakang mata yang sensitif kepada cahaya). AMD dikaitkan dengan kehilangan penglihatan terperinci dan ia menjejaskan tugas seperti membaca, memandu dan mengecam muka. Oleh kerana tiada penawar bagi keadaan ini, terdapat minat yang besar terhadap peranan faktor risiko yang boleh diubahsuai untuk mencegah atau melambatkan proses AMD. Bukti daripada kajian populasi menunjukkan bahawa mereka yang megambil diet dengan tahap asid lemak omega 3 yang agak tinggi (seperti yang diperoleh daripada minyak ikan) adalah kurang berkemungkinan untuk mendapat AMD.

Ciri-ciri kajian
Kami melakukan pencarian untuk kajian setakat 2 Februari 2015. Kami mengenal pasti dua kajian dengan sejumlah 2343 peserta. Kajian telah dilaksanakan di Amerika Syarikat dan Perancis, dan telah menyelidik penggunaan suplemen minyak ikan di kalangan penghidap AMD yang berisiko tinggi menjadi lebih teruk. Kami menilai kajian-kajian ini sebagai berisiko rendah untuk bias. Satu kajian dibiayai oleh geran kerajaan dan satu lagi kajian dibiayai oleh pengilang makanan suplemen.

Keputusan utama
Kajian ini mendapati bahawa suplemen omega-3 untuk tempoh sehingga lima tahun tidak mengurangkan kadar perlanjutan kepada AMD yang teruk ataupun mengurangkan kadar kehilangan penglihatan dengan ketara berbanding dengan plasebo. Insiden kejadian buruk adalah sama didalam kumpulan intervensi dan plasebo.

Kualiti bukti
Kami menilai kualiti bukti tentang kadar perlanjutan kepada AMD sebagai tinggi, dan kualiti bukti untuk keputusan lain sebagai sederhana kerana anggarannya tidak tepat.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information