Vaksinasi oral untuk mencegah eksaserbasi akut dalam bronkitis kronik dan penyakit pulmonari obstruktif kronik

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti mengenai kesan vaksin Haemophilus influenzae yang tidak dapat dikelaskan (NTHi) dalam mencegah jangkitan berulang H influenzae dalam pesakit pulmonari obstruktif kronik (COPD) atau bronkitis kronik.

Latar belakang

Pesakit COPD sering mengalami jangkitan yang memburukkan gejala penyakit paru-paru mereka, iaitu peningkatan sesak nafas, buangan bernanah dan tahap tepu oksigen dikompensasi, dikenali sebagai ‘eksaserbasi akut’. Bakteria yang sering menyebabkannya adalah H influenzae. Jangkitan dengan H influenzae boleh menyebabkan kemasukan ke hospital, dan dalam beberapa kes, kematian. Mencegah jangkitan ini dengan vaksin boleh menyebabkan pesakit COPD mendapat hasil yang lebih baik berbanding dengan amalan semasa bagi merawat jangkitan apabila ia terjadi.

Ciri-ciri kajian

Bukti adalah terkini sehingga Januari 2017. Kami mengenal pasti enam kajian dengan jumlah keseluruhan 557 peserta. Kajian adalah kajian rawak terkawal plasebo yang menguji keberkesanan vaksin NTHi dalam mencegah jangkitan dalam orang yang berusia lebih dari 18 tahun dengan penyakit COPD atau bronkitis kronik. Dalam semua enam kajian, kedua-dua kumpulan vaksin dan plasebo diberi sekurang-kurangnya tiga siri tablet pada selang waktu yang tetap dalam jangka masa tiga hingga 12 bulan. Biasanya, demografik asas peserta seluruh kajian yang disertakan berkongsi ciri-ciri yang serupa (seperti diet, gaya hidup, dan keadaan hidup) dengan negara berpendapatan tinggi yang lain. Usia adalah antara 40 dan 80 tahun. Kajian-kajian tersebut menghitung jumlah jangkitan yang dialami peserta, tahap bakteria saluran pernafasan, kematian, kesan-kesan sampingan, kemasukan ke hospital, atau rawatan dengan antibiotik.

Keputusan utama

Vaksin NTHi tidak mempunyai kesan yang signifikan dalam mengurangkan jumlah eksaserbasi akut yang dialami pesakit COPD. Tiada perbezaan yang signifikan dalam kadar kematian antara kumpulan vaksin dan plasebo, dan kematian yang dilaporkan dalam kumpulan vaksin adalah tidak dikaitkan dengan vaksin.

Tahap bakteria H influenzae yang ditemui di dalam saluran pernafasan peserta adalah tidak berbeza antara kumpulan vaksin dan plasebo. Disebabkan percanggahan pengukuran antara kajian, kami tidak dapat membandingkan kajian antara satu sama lain.

Antibiotik, yang boleh menjadi petunjuk jangkitan yang teruk, adalah diberi dengan lebih kerap dalam kumpulan plasebo. Bukti bagi kemasukan ke hospital menunjukkan terdapat tiada perbezaan dalam kemungkinan dimasukkan ke hospital sama ada bagi kumpulan vaksin atau plasebo. Dua kajian yang mengkaji kualiti hidup mendapati peserta yang menerima vaksin secara umumnya mempunyai kualiti hidup yang lebih baik, tetapi keputusan ini diukur secara berbeza dan oleh itu tidak dapat dibandingkan.

Lima kajian melaporkan kesan buruk, tetapi tiada kaitan yang tertentu sama ada dengan kumpulan vaksin atau plasebo. Penyelidikan lebih lanjut adalah diperlukan untuk menjelaskan kesan buruk sebagai ukuran hasil untuk analisis yang lebih muktamad mengenai kesan sampingan vaksin.

Kualiti bukti

Kajian-kajian tersebut dijalankan dengan baik dengan risiko bias yang sederhana. Batasan utama ulasan ini adalah kekurangan konsistensi mengenai definisi dan ukuran hasil antara kajian individu, yang mempengaruhi sintesis keseluruhan dan tafsiran keputusan. Peserta yang sedikit mungkin bermakna keputusan tersebut berkemungkinan besar dipengaruhi oleh kebetulan. Satu kajian mempunyai peserta yang lebih banyak daripada gabungan lima kajian yang lain, dan ia lebih menyumbang analisis akhir. Terdapat kepelbagaian yang sederhana (kajian menunjukkan keputusan yang agak berbeza) apabila kajian ini disertakan dalam analisis, terutamanya dalam jumlah jangkitan. Namun, keputusan tersebut adalah konsisten dan tidak berubah apabila kajian ini dikeluarkan dari analisis.

Kesimpulan

Kami menyimpulkan setelah mengulas kajian yang relevan bahawa vaksin H influenzae yang diambil secara oral dalam pesakit bronkitis kronik dan COPD tidak mempunyai penurunan yang signifikan dalam jumlah dan keparahan eksaserbasi akut.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information