Ubat bagi melegakan kesakitan kerana kolik di kalangan bayi

Soalan ulasan

Adakah bayi yang mengalami kolik dalam tempoh empat bulan pertama kehidupan mendapat manfaat daripada agen pengurang rasa sakit (bahan untuk mengurangkan/mencegah kesakitan) jika dibandingkan dengan bayi yang tidak diberi bahan atau plasebo (bahan yang sama dengan ubat tetapi tidak mempunyai bahan aktif)?

Latar belakang

Kolik di kalangan bayi ialah masalah yang biasanya terjadi dalam masa empat bulan pertama kehidupan bayi yang sihat. Ciri-ciri masalah ini adalah episod-episod menangis yang berlebihan dan sering membawa kepada kebimbangan pada ibu bapa dan pada doktor yang merawat bayi.

Agen melegakan kesakitan, seperti ubat (cth simethicone, dicyclomine, cimetropium), ubat herba (cth Matricaria recutita , Foeniculum vulgare, Melissa officinalis ) dan gula, telah dicadangkan untuk mengurangkan gejala yang berkaitan dengan kolik bayi, terutamanya terhadap jumlah masa menangis.

Ciri-ciri kajian

Kami menemui 18 kajian rawak terkawal (RCTs), iaitu kajian di mana para peserta akan dibahagikan secara rawak kepada satu daripada dua atau lebih kumpulan dan kajian ini melibatkan sejumlah 1014 bayi yang menghadapi masalah kolik. Bukti adalah terkini sehingga Mei 2016.

Bayi berumur lapan hingga 16 minggu, dan jumlah bayi lelaki dan perempuan lebih kurang sama. Semua bayi mengalami masalah kolik, ditakrifkan dalam satu daripada dua cara. Sesetengah kajian mentakrifkannya sebagai tangisan yang susah dihentikan dikalangan bayi yang sihat, yang berterusan lebih daripada tiga jam sehari selama lebih daripada tiga hari seminggu selama lebih daripada tiga minggu. Kajian lain mentakrifkan kolik sebagai serangan menjerit dan menangis (biasanya pada waktu petang, atau pada awal malam) di mana bayi tidak memberikan tindak balas positif terhadap sebarang kaedah pujukan atau keselesaan yang dilakukan oleh orang dewasa.

Empat kajian mengkaji kesan simethicone (ubat yang digunakan untuk mengurangkan gas berlebihan dalam saluran usus); empat kajian mengkaji agen herba (ubat-ubatan yang berasal dari tumbuhan yang mungkin mempunyai bahan yang boleh mengurangkan kekejangan dan sakit di dalam perut); dua kajian mengkaji gula; dan lima kajian meneroka kesan dicyclomine dan dua kajian mnegkaji kesan cimetropium bromide (ubat yang melegakan kekejangan otot perut). Satu kajian membandingkan sukrosa dan teh herba terhadap sekumpulan bayi yang tidak menerima rawatan untuk kolik.

Enam belas daripada 18 kajian membandingkan intervensi dengan plasebo. Di dalam dua kajian lain, satu membandingkan simethicone dengan Mentha piperita, dan satu lagi membandingkan dua dos cimetropium yang berbeza.

Kajian yang dimasukkan menerima pembiayaan daripada sumber yang berbeza: institusi awam (dua kajian), dana akademik (satu kajian) dan syarikat swasta (tiga kajian). Tiga kajian tidak menerima pembiayaan. Sembilan kajian tidak melaporkan sama ada kajian tersebut mendapat pembiayaan. Dalam empat kajian yang melaporkan tiada dana dan tiada butiran tentang dana, syarikat swasta membekalkan produk tersebut (agen melegakan kesakitan).

Keputusan utama

Data yang ada tidak dapat memberikan bukti bahawa gula, dicyclomine dan cimetropium adalah rawatan yang berkesan bagi merawat kolik. Sesetengah bukti menunjukkan bahawa, berbanding dengan plasebo atau tiada rawatan, agen herba boleh mengurangkan masa menangis. Walau bagaimanapun, kerana kualiti kajian ini sangat lemah dan tahap faedah yang diperhatikan berubah-ubah, keputusan ini harus ditafsirkan dengan berhati-hati. Perkara yang sama terjadi bagi kajian yang melibatkan gula, dicyclomine dan cimetropium, yang mana kami menilai kualiti bukti sebagai rendah atau sangat rendah.

Kajian yang menguji simethicone melaporkan tiada faedah daripada pemberian ubat ini berbanding plasebo.

Dua kajian melaporkan kesan sampingan untuk dicyclomine, contohnya, kesukaran bangun, keadaan mata terbeliak dan mengantuk. Kajian terhadap agen penghilang kesakitan lain melaporkan tiada kesan sampingan akibat rawatan.

Kualiti bukti

Bukti berkualiti rendah menunjukkan bahawa bayi yang mengalami kolik boleh mendapat manfaat daripada rawatan dengan gula dan cimetropium, dan agen herba boleh mengurangkan masa menangis. Bukti kualiti sederhana menunjukkan bahawa agen-agen ini meningkatkan bilangan kanak-kanak yang mengalami pengurangan gejala kolik. Secara keseluruhannya, bukti tidak mencukupi untuk membenarkan kesimpulan yang kukuh tentang faedah dan kesan sampingan agen penghilang rasa sakit yang dikaji bagi rawatan menangis akibat kolik bayi.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Amanda Yap Qiao Ying (Hospital Putrajaya). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information