Menyediakan terapi antiretroviral lebih dekat dengan rumah pesakit untuk meningkatkan akses kepada penjagaan di negara berpendapatan rendah dan sederhana

Latar belakang

Ramai orang yang hidup dengan HIV yang memerlukan terapi antiretroviral tidak dapat mengakses atau kekal dalam penjagaan. Ini selalunya kerana masa dan kos yang diperlukan untuk pergi ke pusat kesihatan. Satu pendekatan untuk memudahkan akses dan pengekalan dalam penjagaan adalah dengan menyediakan terapi antiretroviral berdekatan dengan rumah orang ramai, 'mendesentralisasi' rawatan dari hospital ke pusat kesihatan atau malah kepada komuniti. Kami ingin menilai sama ada desentralisasi terapi antiretroviral mengurangkan bilangan orang yang hilang untuk susulan. Oleh sebab kehilangan susulan dalam program HIV diketahui memasukkan beberapa orang yang telah meninggal dunia, hasil utama yang diminati adalah 'attrition', iaitu bilangan orang yang sama ada telah meninggal dunia atau hilang untuk susulan.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari kajian sehingga Mac 2013. Kami menemui 16 kajian, termasuk dua kajian rawak terkawal berkualiti tinggi dan 14 kajian yang mengumpul data daripada program penjagaan HIV. Semua kecuali satu kajian telah dijalankan di Afrika. Peserta kajian melibatkan orang dewasa dan kanak-kanak yang disusuli sehingga dua tahun.

Kami menerangkan tiga jenis penjagaan:

- Desentralisasi separa: memulakan terapi antiretroviral di hospital, kemudian berpindah ke pusat kesihatan untuk meneruskan rawatan

- Desentralisasi penuh: memulakan dan meneruskan rawatan di pusat kesihatan

- Menyediakan terapi antiretroviral dalam komuniti: terapi antiretroviral dimulakan di pusat kesihatan atau hospital dan selepas itu disediakan dalam komuniti

Keputusan utama

Kami mendapati bahawa jika terapi antiretroviral dimulakan di hospital dan diteruskan di pusat kesihatan (desentralisasi separa), mungkin terdapat kurang attrition dan kurang pesakit yang hilang dari penjagaan selepas satu tahun (empat kajian, 39 090 pesakit).

Di mana terapi antiretroviral dimulakan dan diteruskan di pusat kesihatan (desentralisasi penuh), mungkin tiada perbezaan dalam jumlah kematian dan pesakit yang hilang susulan (attrition), tetapi secara keseluruhan, mungkin terdapat kurang pesakit yang hilang dari penjagaan selepas satu tahun (empat kajian, 56 360 pesakit).

Jika terapi antiretroviral disediakan dalam komuniti, oleh sukarelawan terlatih, mungkin tiada perbezaan yang dikesan dalam kematian atau kehilangan penjagaan jika dibandingkan dengan penjagaan yang diberikan di pusat kesihatan selepas satu tahun (dua kajian, 1 453 pesakit).

Secara keseluruhan, tiada satu pun model desentralisasi membawa kepada hasil kesihatan yang lebih teruk. Penyelidikan menunjukkan bahawa kurang pesakit hilang dari penjagaan apabila mereka meneruskan terapi antiretroviral di pusat kesihatan dan bukannya di hospital. Penyelidikan juga tidak mengesan perbezaan dalam bilangan pesakit yang hilang dari penjagaan apabila mereka dirawat dalam komuniti dan bukannya di fasiliti kesihatan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Tang Kar Foong (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information