Penggunaan peranti video dalam membantu perletakan tiub pernafasan dalam kalangan bayi

Terjemahan ini tidak dikemas kini. Sila klik di sini untuk melihat versi Bahasa Inggeris terbaru Ulasan.

Soalan ulasan

Adakah perletakan tiub pernafasan (intubasi) menggunakan peranti bantuan video (laringoskopi video) meningkatkan kejayaan dan keselamatan prosedur dalam kalangan bayi yang baru lahir berbanding pendekatan standard melihat pembukaan saluran udara (pita vokal) tanpa bantuan video (laringoskopi langsung)?

Latar belakang

Satu dari 100 bayi yang baru lahir mungkin memerlukan intubasi untuk kekal hidup apabila mereka mengalami kesukaran bernafas. Perletakan tiub bernafas menggunakan laringoskopi langsung mungkin mencabar dalam kalangan bayi baru lahir. Apabila mengajar kemahiran menyelamatkan nyawa ini kepada pelatih, penyelia bergantung terutamanya kepada maklum balas daripada pelatih (rakan sekerja lebih muda) daripada pengesahan visual. Adalah sukar bagi penyelia untuk memberi maklum balas waktu nyata kepada pelatih dalam situasi ini. Laringoskopi video boleh memudahkan prosedur ini dan lebih selamat daripada pendekatan laringoskopi langsung. Kami ingin mengetahui sama ada menggunakan laringoskopi video meningkatkan kejayaan dan keselamatan prosedur intubasi bayi baru lahir berbanding teknik laringoskopi langsung.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari bukti bagi mencarianfaat penggunaan alat bantuan video untuk perletakan tiub pernafasan dalam kalangan bayi. Kami telah mencari pangkalan data saintifik kajian klinikal ke atas bayi yang memerlukan intubasi dalam bilik bersalin, bilik pembedahan atau unit penjagaan intensif. Kajian-kajian boleh mengukur masa sehingga intubasi, bilangan percubaan intubasi, kadar kejayaan intubasi pertama atau kesan sampingan. Bukti adalah terkini sehingga Mei 2017. Kami memasukkan; menyertakan tiga kajian, yang menyediakan data sehingga 467 cubaan intubasi dalam kalangan bayi baru lahir oleh pelatih.

Keputusan utama dan kualiti bukti

Data daripada tiga kajian yang dimasukkan mencadangkan bahawa laringoskopi video meningkatkan kejayaan intubasi pada percubaan pertama tetapi tidak mengurangkan masa sehingga intubasi, bilangan percubaan atau kesan sampingan perletakan tiub pernafasan. Kajian-kajian ini dilakukan dengan pelatih dan menekan penggunaan laringoskopi video sebagai alat pengajaran. Kami mengesahkan keperluan penyelidikan lanjut dalam menilai penggunaan alat bantuan video bagi perletakan tiub pernafasan dalam kalangan bayi baru lahir.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.