Tai Chi untuk penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD)

Latar belakang

Orang yang mempunyai penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD) kerap mengalami sesak nafas (dispnea). Tai Chi ialah latihan kalisthenik sistematik yang pertama kali dibangunkan di China purba yang melibatkan satu siri gerakan membulat yang perlahan dan berirama. Ia menekankan penggunaan 'minda' atau tumpuan untuk mengawal pernafasan dan pergerakan badan membulat untuk memudahkan pengaliran tenaga dalaman (iaitu 'qi') untuk mengekalkan keseimbangan dalam badan dan meningkatkan jangka hayat. Kesannya terhadap keseimbangan dan kekuatan otot dalam populasi warga tua telah dilaporkan, tetapi kesannya terhadap sesak nafas, kapasiti senaman, fungsi pulmonari dan kesejahteraan psikososial bagi penghidap COPD masih tidak dapat disimpulkan. Ulasan ini meneroka sama ada Tai Chi bermanfaat untuk mengurangkan sesak nafas dan meningkatkan kapasiti senaman dan kesejahteraan fisiologi dan psikososial di kalangan penghidap COPD.

Ciri-ciri kajian

Kami menyertakan sejumlah 811 peserta daripada 12 kajian dalam analisis akhir ulasan ini. Bilangan peserta dalam setiap kajian adalah antara 10 hingga 206, dan umur purata antara 61 hingga 74 tahun. Program ini berlangsung selama enam minggu hingga satu tahun. Kajian yang disertakan menggunakan gaya yang berbeza dan pelbagai bentuk Tai Chi. Bentuk yang paling biasa dilaporkan ialah Tai Chi gaya Yang 24 bentuk yang dipermudahkan.

Keputusan utama

Tiada kejadian yang tidak diingini atau kesan sampingan dilaporkan sepanjang tempoh kajian. Kualiti bukti untuk keputusan-keputusan lain berkadaran antara sangat rendah hingga sederhana. Selepas latihan selesai, tahap sesak nafas dalam kumpulan Tai Chi dan kawalan (iaitu penjagaan biasa) adalah serupa. Peserta dalam kumpulan Tai Chi berjalan lebih jauh, sebanyak 29.64 meter dalam masa enam minit, dan mempunyai fungsi paru-paru yang lebih baik, berbanding mereka yang menerima penjagaan biasa. Walau bagaimanapun, perubahan dalam kualiti hidup tidak ketara. Apabila kesan Tai Chi yang digunakan sebagai tambahan kepada intervensi lain (iaitu senaman pernafasan atau senaman) telah diperiksa, kami tidak mendapati bahawa Tai Chi menawarkan faedah tambahan dari segi sesak nafas atau kesejahteraan fungsian dan psikososial. Pada masa ini, hanya satu kajian telah menyiasat kesan berfaedah Tai Chi terhadap kekuatan dan keseimbangan otot; penyiasat memberikan maklumat yang tidak mencukupi untuk membenarkan komen pada data dalam ulasan ini. Kajian masa depan yang menangani topik ini adalah wajar.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information