Probiotik untuk mengelakkan diabetes mellitus semasa kehamilan

Diabetes mellitus semasa kehamilan adalah keadaan di mana seorang ibu mempunyai tahap gula dalam darah yang tinggi semasa kehamilan. Ini dikaitkan dengan pelbagai hasil kehamilan yang buruk pada ibu, seperti pra-eklampsia (tekanan darah tinggi dengan protein dalam air kencing) dan kelahiran secara penggunaan instrumen atau secara pembedahan, dan juga pada bayi yang mungkin dilahirkan besar untuk umur gestasinya. Rawatan semasa termasuklah diet dengan atau tanpa ubat. Pencegahan keadaan ini adalah lebih baik daripada rawatan. Intervensi pencegahan diet dan gaya hidup akan memakan masa dan tidak selalunya mengurangkan bilangan wanita yang mendapat diabetes semasa kehamilan. Probiotik - bakteria 'baik' yang biasanya diambil dalam bentuk kapsul atau minuman - menambah bakteria usus. Probiotik mempunyai potensi untuk mengubah metabolisme seseorang dan seterusnya mengelakkan kencing manis semasakehamilan. Ulasan ini telah direka untuk melihat sama ada terdapat bukti untuk menunjukkan jika ini adalah benar atau tidak. Pada masa ini hanya ada satu kajian terkawal rawak, yang melibatkan 256 wanita. Kajian ini menunjukkan kadar diabetes mellitus semasa kehamilan adalah lebih rendah di kalangan wanita yang mengambil probiotik dari awal kehamilan, kadar diagnosis penyakit diabetes mellitus semasa kehamilan dikurangkan sebanyak dua pertiga dan bayi mereka secara puratakurang sebanyak 127 g semasa dilahirkan. Kajian ini tidak menjumpai perbezaan dalam kadar keguguran, kematian dalam rahim atau kematian neonatal atau kelahiran mati. Tidak ada bukti jelas dalam perubahan perkadaran wanita yang bersalin melalui pembedahan Caesarean atau risiko kelahiran pramatang. Kajian ini tidak melaporkan berapa banyak berat badan ibu bertambah semasa kehamilan atau berapa banyak bayi yang besar daripada umur gestasinya atau yang berat lebih daripada 4000 g ketika kelahiran atau mengenai komposisi badan bayi. Satu kajian tidak cukup untuk membuat apa-apa kesimpulan yang pasti pada masa ini. Terdapat kajian-kajian lain sedang dijalankan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Fairuz Fadzilah Rahim (Penang Medical College). Disunting oleh MW Chan (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini, sila hubungi fairuzfr@yahoo.com.

Tools
Information
Share/Save