Probiotik untuk mencegah diabetes mellitus semasa kehamilan

Kami menganalisis bukti dari kajian terkawal rawak (kajian klinikal di mana orang secara rawak dimasukkan ke dalam salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) yang menyiasat suplemen probiotik sahaja atau dalam gabungan dengan intervensi ubat atau bukan ubat untuk mencegah diabetes mellitus semasa kehamilan (GDM).

Apa masalahnya?

GDM adalah keadaan di mana ibu mengalami tahap gula dalam darah yang tinggi, biasanya selepas 13 minggu kehamilan. GDM berbeza dengan diabetes jenis 2 kerana tahap gula dalam darah adalah normal sebelum kehamilan, dan tahap tersebut biasanya kembali normal selepas kehamilan. GDM dikaitkan dengan peningkatan risiko menghidap diabetes jenis 2 di kemudian hari. Wanita dengan GDM berisiko tinggi mendapat tekanan darah tinggi dengan protein dalam air kencing (pre-eklampsia) dan kelahiran instrumental atau pembedahan caesar. Bayi mereka lebih cenderung dilahirkan besar untuk usia kehamilan mereka. Probiotik adalah 'bakteria baik' yang biasanya diambil dalam bentuk kapsul atau minuman untuk menambah bakteria usus. Kita bergantung kepada bakteria usus kita untuk membantu mencerna makanan kita, menghasilkan vitamin tertentu, mengatur sistem imun tubuh dan menjaga kesihatan kita dengan melindungi kita dari bakteria penyebab penyakit. Probiotik boleh mengubah metabolisma seseorang dan berperanan dalam pencegahan GDM.

Mengapakah ini penting?

Wanita yang mempunyai berat badan berlebihan atau obes, mengalami GDM pada kehamilan sebelumnya atau mempunyai ahli keluarga terdekat dengan diabetes adalah berisiko tinggi mendapat GDM. Rawatan semasa untuk GDM merangkumi diet dengan atau tanpa ubat tetapi tidak selalu mencegah masalah yang berkaitan dengan GDM. Probiotik boleh menjadi kaedah mudah untuk mencegah GDM. Ulasan ini melihat sama ada terdapat bukti untuk menunjukkan apakah hal ini benar.

Apakah bukti yang kami temui?

Kami mencari bukti dari kajian terkawal secara rawak pada bulan Mac 2020 dan mengenal pasti tujuh kajian dengan 1647 wanita hamil yang membandingkan probiotik dengan plasebo yang tidak aktif (rawatan pura-pura). Dua kajian dilakukan pada wanita yang mempunyai berat badan berlebihan dan obes, dua pada wanita obes dan tiga tidak mengecualikan wanita berdasarkan berat badan mereka. Risiko berat sebelah secara keseluruhannya adalah rendah kecuali untuk satu kajian di mana risiko berat sebelah adalah tidak jelas.

Adalah tidak jelas bagaimana probiotik mempengaruhi risiko menghidap GDM kerana variasi yang luas dalam hasil enam kajian (1440 wanita, bukti berkualiti rendah). Probiotik meningkatkan risiko menghidap pra-eklampsia (4 kajian, 955 wanita; bukti berkualiti tinggi). Probiotik menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan untuk risiko memerlukan pembedahan caesar (6 kajian, 1520 wanita; bukti berkualiti tinggi), dan mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan dengan kenaikan berat badan semasa kehamilan (4 kajian, 853 wanita; bukti berkualiti sederhana) atau berisiko melahirkan bayi besar (4 kajian, 919 wanita; bukti berkualiti sederhana). Tidak ada kajian yang melaporkan maklumat mengenai risiko trauma perineal (luka semasa kelahiran melalui vagina atau sayatan pembedahan (episiotomi)), kemurungan selepas bersalin atau menghidap diabetes seterusnya.

Kami tidak tahu sama ada probiotik mempengaruhi bayi yang mengalami masalah perubatan selepas kelahiran kerana variasi hasil antara kajian (2 kajian, 623 bayi; bukti berkualiti rendah). Tidak dapat dipastikan bagaimana probiotik mempengaruhi kematian bayi (sama ada sebelum kelahiran atau sebagai bayi baru lahir) (3 kajian, 709 bayi; bukti berkepastian rendah), gula darah rendah (2 kajian, 586 bayi; bukti berkepastian rendah) atau lemak badan (2 kajian, 320 bayi; bukti berkepastian rendah). Tidak ada kajian yang melaporkan maklumat mengenai risiko bayi menghidap diabetes atau keadaan jangka panjang yang mempengaruhi perkembangan otak.

Apakah maksud ini?

Bukti berkualiti rendah dari enam kajian tidak dapat mengenal pasti dengan jelas kesan probiotik terhadap risiko GDM. Walau bagaimanapun, bukti berkualiti tinggi menunjukkan bahawa probiotik mungkin meningkatkan risiko pra-eklampsia. Oleh itu, kini terdapat bukti tentang potensi bahaya dengan sedikit manfaat yang diperhatikan untuk penggunaan probiotik secara meluas dalam kehamilan.

Terdapat lapan kajian yang sedang dijalankan yang dapat membantu menjelaskan kesan probiotik. Ia juga adalah penting untuk meneroka hubungan antara probiotik dan pra-eklampsia dengan lebih lanjut.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save