Meninggikan kepala katil berbanding katil yang datar dalam mencegah pneumonia berkaitan ventilator (VAP) dalam kalangan dewasa yang memerlukan ventilasi mekanikal

Latar belakang

Pesakit dewasa yang sakit kritikal sering memerlukan mesin untuk membantu mengekalkan pernafasan mereka. Satu kesan sampingan mesin tersebut ialah peningkatan risiko pneumonia. Ini dikenali sebagai pneumonia berkaitan ventilator (VAP). Ia adalah penyebab utama kematian dalam kalangan pesakit kritikal dan boleh meningkatkan tempoh inap di hospital serta kos penjagaan kesihatan. Sudut baringan pesakit yang diventilasi mungkin memain peranan penting dalam mencegah jangkitan paru-paru.

Soalan ulasan

Menaikkan kepala katil dengan mencondongkan sudut katil hospital mungkin boleh mencegah jangkitan ke paru-paru. Kami menilai manfaat dan mudarat posisi separa-berbaring untuk pencegahan VAP dalam kalangan pesakit kritikal dewasa yang memerlukan ventilasi mekanikal. Kami juga mengkaji sudut terbaik untuk meninggikan kepala katil dalam kedudukan separa telentang.

Ciri-ciri kajian

Kami mengenalpasti 10 kajian melibatkan 878 peserta. Dua puluh lapan peserta tidak dapat disusul. Bukti adalah terkini sehingga 27 Oktober 2015. Semua peserta direkrut dari unit rawatan rapi (ICU) dan telah menerima ventilasi mekanikal melebihi 48 jam.

Keputusan utama dan kualiti bukti

Bukti berkualiti sederhana daripada lapan kajian melibatkan 759 peserta menunjukkan posisi separa-berbaring (30º hingga 60º) mengurangkan 25.7% VAP berbanding posisi 0° hingga 10°. Berdasarkan keputusan ini, kami menjangka daripada 1000 pesakit kritikal yang dirawat pada posisi separa berbaring (30º hingga 60º) lebih dari 48 jam,145 pesakit disyaki akan mengalami VAP secara klinikal berbanding 402 pesakit yang dirawat pada posisi berbaring 0° to 10°. Tiada perbezaan ketsignifikan di antara kedua-dua posisi tersebut dalam mengurangkan VAP yang disahkan secara mikrobiologi (bukti kualiti sangat rendah), mortaliti (bukti kualiti rendah), tempoh inap di ICU (bukti kualiti sederhana), tempoh inap di hospital (bukti kualiti sangat rendah), tempoh penggunaan ventilasi atau penggunaan antibiotik. Kebatasan utama dalam kajian ini adalah jumlah peserta yang kecil dan ada dikalangan pengkaji sudah mengetahui kumpulan rawatan pesakit yang dirawat (Berisiko untuk berat sebelah).

Hanya dua kajian dengan 91 peserta telah membandingkan darjah sudut kepala katil yang berbeza (45 ° dibandingkan dengan 25 ° hingga 30 ° pada kedudukan separa telentang). Satu bukti yang berkualiti sangat rendah telah menunjukkan bahawa tiada perbezaan statistik yang ketara dalam kes VAP (disyaki secara klinikal dan microbiologi), kematian (di ICU dan hospital), tempoh di ICU atau penggunaan antibiotik. Hanya satu kajian melaporkan peristiwa buruk iaitu ulser tekanan dan tidak mendapati perbezaan di antara posisi 45° separa berbaring dan 10° posisi berbaring. Tiada peristiwa buruk lain dilaporkan seperti tromboembolisme, kesan sampingan pada kadar denyut jantung atau tekanan darah.

Manfaat dan mudarat posisi separa berbaring masih tidak jelas kerana bilangan kajian yang terhad dan bukti sedia ada berkualiti rendah. Bukti kualiti yang lebih tinggi diperlukan untuk mengkaji kesan posisi separa terlentang berbanding pada posisi baring serta mengkaji posisi badan yang optimal.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Zaki Hilmi Bin Zainal Abidin (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi muhammadzakihilmi@gmail.com

Tools
Information