Intervensi untuk mencegah pelbagai tingkah laku berisiko dalam kalangan remaja

Latar belakang

Tingkah laku berisiko kesihatan, seperti merokok dan penggunaan dadah, boleh berkumpul semasa zaman remaja, dan penglibatan dalam pelbagai tingkah laku berisiko ini boleh membawa kepada masalah kesihatan seperti kecederaan dan penyalahgunaan dadah semasa zaman kanak-kanak dan remaja, serta penyakit-penyakit tidak berjangkit dalam kehidupan kemudian hari. Pada masa ini, kami tidak tahu intervensi manakah yang berkesan untuk mencegah atau mengurangkan kelakuan berisiko ini dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

Kaedah carian dan pemilihan kajian

Kami melakukan carian teliti dari pelbagai pangkalan data saintifik untuk mengenal pasti kajian yang melihat cara-cara mencegah atau mengurangkan penglibatan dalam dua atau lebih tingkah laku berisiko, termasuk penggunaan tembakau, penggunaan alkohol, penggunaan dadah haram, perjudian, memudaratkan diri, tingkah laku seksual berisiko, tingkah laku antisosial, tingkah laku berisiko kenderaan, tidak aktif secara fizikal, dan pemakanan yang kurang baik, dalam kalangan remaja berusia lapan hingga 25 tahun. Kami membahagikan kajian-kajian ini ke dalam kumpulan (kajian peringkat individu, peringkat keluarga, dan peringkat sekolah) berdasarkan sama ada penyelidik bekerja dengan individu, keluarga, atau kanak-kanak dan orang muda di sekolah masing-masing. Kami secara khususnya melihat kajian-kajian "piawaian emas" - kajian rawak terkawal yang bertujuan untuk menilai dua atau lebih tingkah laku yang diminati.

Keputusan utama

Sejumlah 70 kajian layak untuk dimasukkan ke dalam ulasan ini. Separuh daripada kajian-kajian memasukkan populasi tanpa pertimbangan status risiko, dan separuh lagi memfokus kepada kumpulan berisiko tinggi. Kebanyakan kajian dijalankan di AS atau di negara berpendapatan tinggi. Secara purata, kajian-kajian menilai kesan intervensi terhadap empat tingkah laku, lazimnya, alkohol, penggunaan tembakau, penggunaan dadah, dan tingkah laku antisosial.

Kami mendapati bahawa untuk pelbagai tingkah laku berisiko, kajian berasaskan sekolah untuk remaja lebih bermanfaat daripada pembanding untuk mencegah penggunaan tembakau, penggunaan alkohol, dan tidak aktif fizikal, dan ia juga boleh memberi manfaat berhubung penggunaan dadah haram dan tingkah laku antisosial . Penemuan-penemuan adalah lebih lemah untuk penggunaan ganja, tingkah laku berisiko seksual, dan diet yang tidak sihat. Bukti menunjukkan bahawa program berasaskan sekolah tertentu boleh memberi impak bermanfaat kepada lebih daripada satu tingkah laku. Sebaliknya, kami tidak menemui bukti kukuh kesan-kesan manfaat intervensi untuk keluarga atau individu bagi tingkah laku yang diminati, walaupun perlu berhati-hati dalam mentafsirkan penemuan-penemuan ini kerana kami mengenal pasti kurang kajian-kajian sedemikian. Akhirnya, kami mendapati tujuh kajian yang melaporkan peningkatan tahap penglibatan dalam tingkah laku berisiko dalam kalangan mereka yang menerima intervensi berbanding mereka yang diberi kawalan.

Secara keseluruhan, para pengulas menilai kualiti bukti sebagai sederhana atau rendah untuk kebanyakan tingkah laku yang dinilai menggunakan kriteria standard, dengan satu tingkah laku yang didapati mempunyai kualiti bukti yang sangat rendah. Sebahagiannya, ini adalah kerana kebimbangan mengenai cara beberapa kajian dijalankan, yang mungkin telah memperkenalkan bias.

Kesimpulan

Penemuan kami mencadangkan bahawa intervensi berasaskan sekolah yang ditawarkan kepada semua kanak-kanak yang bertujuan untuk menangani penglibatan dalam pelbagai tingkah laku berisiko mungkin berperanan untuk mencegah penggunaan tembakau, penggunaan alkohol, penggunaan dadah haram, dan kelakuan antisosial, serta mempertingkatkan aktiviti fizikal, dalam kalangan remaja, tetapi tidak bagi berperanan untuk tingkah laku lain yang dinilai. Kami tidak menemui bukti kukuh tentang manfaat intervensi untuk keluarga atau individu. Kebimbangan mengenai pelaporan kajian dan kualiti kajian menonjolkan keperluan untuk kajian tambahan yang teguh dan berkualiti tinggi untuk mengukuhkan lagi asas bukti dalam bidang ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save