Sistem komunikasi telefon automatik untuk mencegah penyakit dan menangani masalah jangka panjang

Latar belakang

Sistem komunikasi telefon automatik (ATCS) menghantar mesej suara dan mengumpul maklumat kesihatan daripada orang ramai yang menggunakan pad kekunci sentuhan atau perisian pengenalan suara telefon mereka. ATCS boleh menambah atau mengganti hubungan telefon antara profesional kesihatan dan pesakit. Terdapat beberapa jenis ATCS: mesej suara sehala kepada pesakit (unidirectional), sistem tindak balas suara interaktif (IVR), jenis yang mempunyai fungsi tambahan seperti rujukan pada nasihat (ATCS Plus) atau jenis di mana ATCS ialah sebahagian daripada sebuah intervensi kompleks (multimodal).

Soalan ulasan

Ulasan ini menilai keberkesanan ATCS dalam mencegah penyakit dan menangani masalah jangka panjang.

Keputusan

Kami mendapati 132 kajian melibatkan 4 juta peserta untuk penjagaan kesihatan pencegahan dan menangani masalah jangka panjang.

Kajian-kajian membandingkan jenis-jenis ATCS dalam pelbagai cara.

Sebilangan kajian melaporkan keputusan dalam pelbagai jenis penyakit. Untuk pencegahan, ATCS mungkin meningkatkan pengambilan imunisasi dalam kalangan kanak-kanak, dan secara minimal dalam kalangan remaja, tetapi kesan terhadap orang dewasa tidak dapat dipastikan. Selain itu, untuk pencegahan, ATCS multimodal meningkatkan bilangan mereka yang menjalani pemeriksaan saringan kanser payudara atau kolorektal, dan mungkin meningkatkan saringan osteoporosis. ATCS Plus mungkin boleh meningkatkan kehadiran bagi saringan kanser serviks secara minimal, tetapi kesan terhadap saringan osteoporosis tidak dapat dipastikan. IVR mungkin dapat meningkatkan bilangan saringan kanser kolorektal selama sekurang-kurangnya enam bulan, tetapi kesan terhadap kanser payudara adalah minimal.

ATCS (unidirectional atau IVR) boleh meningkatkan kehadiran janji temu, penting bagi pencegahan dan pengurusan penyakit.

Untuk rawatan jangka panjang, ATCS multimodal telah menunjukkan kesan yang tidak konsisten terdapat pematuhan ubat-ubatan. ATCS Plus mungkin dapat meningkatkan kepatuhan ubat-ubatan berbanding penjagaan biasa. Berbanding kumpulan kawalan, ATCS Plus dan IVR mungkin dapat meningkatkan kepatuhan ubat-ubatan secara minimal, manakala ATCS unidirectional mungkin memberikan kesan positif yang minimal. Tiada intervensi yang dapat meningkatkan dapatan klinikal secara konsisten. IVR mungkin dapat meningkatan kepatuhan pemeriksaan, tetapi ATCS Plus mungkin mempunyai kesan minimal.

ATCS juga boleh digunakan dalam masalah-masalah kesihatan tertentu. Kesannya berbeza bergantung kepada masalah kesihatan dan jenis ATCS. ATCS multimodal, tetapi bukan jenis ATCS lain, mungkin boleh mengurangkan kesakitan barah dan kesakitan kronik. Dapatan boleh meningkat secara minimal apabila ATCS digunakan untuk aktiviti fizikal, pengurusan berat badan, pengambilan alkohol dan penyakit kencing manis. Walau bagaimanapun, terdapat sedikit atau tiada kesan pada penyakit kegagalan jantung, penyakit darah tinggi, kesihatan mental atau gejala berhenti merokok. Dalam pelbagai bidang (alkohol/ penyalahgunaan bahan, ketagihan, penyakit asma, penyakit kronik paru-paru obstruktif, HIV/AIDS, penyakit kolesterol tinggi, penyakti apnea tidur obstruktif, penyakit disfungsi saraf tunjang, tekanan psikologi penjaga), tiada bukti yang mencukupi untuk menentukan ATCS yang paling berkesan.

Hanya empat kajian yang melaporkan kesan-kesan sampingan. Kepastian bukti kami berbeza (sangat rendah hingga tinggi), dan sering rendah disebabkan oleh limitasi kajian, bermaksud bahawa kajian lanjut boleh mengubahkan sebilangan keputusan-keputusan.

Kesimpulan

ATCS mungkin menjanjikan perubahan beberapa perilaku kesihatan, meningkatkan dapatan bidang kesihatan dan penggunaan perkhidmatan kesihatan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Roshan Arjun Ananda (Monash University). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information