Memperkuatkan beras dengan vitamin dan mineral untuk menangani malnutrisi mikronutrien

Apakah tujuan ulasan ini?

Tujuan ulasan Cochrane ini adalah untuk menilai sama ada beras yang diperkuatkan dengan satu atau lebih vitamin dan mineral dalam populasi umum yang berumur dua tahun atau lebih akan meningkatkan status nutrisi.

Mesej-mesej utama

Memperkuatkan beras dengan zat besi sahaja atau dalam gabungan dengan mikronutrien yang lain boleh membuat sedikit atau tiada perbezaan dalam risiko mengalami anemia tetapi mungkin mengurangkan risiko kekurangan zat besi dan meningkatkan purata kepekatan hemoglobin dalam populasi berusia dua tahun atau lebih. Sekiranya vitamin A ditambah, ia akan mengurangkan risiko kekurangan vitamin A dan apabila asid folik ditambah, beras yang diperkuatkan mungkin meningkatkan sedikit kepekatan folat dalam serum.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Malnutrisi mikronutrien menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan penduduk di kebanyakan negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana. Memperkuatkan adalah penambahan nutrisi kepada makanan untuk meningkatkan kualiti nutrisinya. Beras digunakan secara meluas sebagai makanan ruji dan sesuai untuk digunakan sebagai makanan asas untuk diperkuatkan. Ulasan ini membincangkan manfaat dan bahaya penguatan beras dengan vitamin dan mineral dalam status mikronutrien bersama-sama dengan hasil yang berkaitan dengan kesihatan, dalam kalangan peserta yang berumur dua tahun dan ke atas, sebagai tambahan kepada hasil yang berkaitan dengan kekurangan zat besi, vitamin A, zink dan folat.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kami mengenal pasti 17 kajian (melibatkan 10,483 peserta) dari Bangladesh, Brazil, Burundi, Kemboja, India, Indonesia, Mexico, Filipina, Thailand dan Amerika Syarikat. Dua belas adalah kajian rawak (2238 peserta); 10 melibatkan kanak-kanak, dan dua kajian melibatkan wanita yang tidak hamil dan tidak menyusukan anak. Selain daripada besi, beberapa kajian melibatkan vitamin A, zink atau asid folat sebagai agen yang memperkuatkan, bersendirian atau dalam gabungan. Lima kajian yang tidak rawak (8245 peserta), dinilai untuk menambah maklumat tentang perlaksanaan dan impak memperkuatkan. Kajian yang terlibat adalah dibiayai oleh kerajaan, organisasi swasta dan bukan kerajaan, bersama dengan institusi akademik lain. Sumber dana tidak kelihatan untuk mengubah keputusan.

Kami tidak pasti sama ada memperkuatkan beras dengan besi dan mikronutrien lain mengurangkan risiko untuk mengalami anemia walaupun intervensi ini dapat meningkatkan purata hemoglobin (biomarker anemia). Kami tidak pasti jika memperkuatkan beras dengan besi sahaja atau digabungkan dengan mikronutrien lain berbanding dengan tanpa sebarang penguatan, mengurangkan risiko kekurangan zat besi.

Tambahan pula, pengambilan vitamin A dalam beras yang diperkuatkan, mungkin memberi sedikit perbezaan pada hemoglobin dan kepekatan retinol dalam serum (biomarker nutrisi vitamin A). Kami tidak tahu sama ada memperkuatkan beras mempunyai sebarang kesan buruk, dalam pertengahan atau jangka panjang, kerana buktinya adalah sangat terhad. Kami mendapati bahawa kepastian keseluruhan bukti adalah berkisar dari tahap yang sangat rendah hingga rendah. Juga, semua kajian menggunakan zat besi untuk menguatkan beras, jadi kesan nutrien terpencil mungkin tersembunyi. Tiada kecenderungan penerbitan yang ketara merentasi kajian.

Adakah ulasan ini terkini?

Penulis ulasan ini telah mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga 10 Disember 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com

Tools
Information