Terapi antibiotik untuk rawatan jangkitan endokarditis

Soalan ulasan

Kami bertujuan untuk menilai bukti yang sedia ada mengenai manfaat klinikal dan kemudaratan rejimen antibiotik yang berbeza yang digunakan untuk merawat orang dengan jangkitan endokarditis.

Latar belakang

Endokarditis infektif adalah jangkitan pada lapisan dalam jantung. Ini adalah jangkitan serius yang sering membawa maut, dan pembedahan jantung sering diperlukan. Antibiotik adalah ubat-ubatan yang merawat jangkitan dan merupakan asas rawatan untuk endokarditis infektif. Rawatan pesakit dengan endokarditis infektif adalah nosokomial (di hospital). Walaupun demikian, terdapat perbezaan yang mengejutkan antara garis panduan dalam cadangan mereka untuk terapi antibiotik. Selanjutnya, kerana dos dan jangka masa antibiotik yang mesti diberikan, antibiotik boleh memberi kesan sampingan yang serius, seperti kerosakan ginjal dan telinga, dan menyebabkan reaksi alergi.

Ciri-ciri kajian

Kami mengenal pasti hanya enam kajian rawak terkawal (kajian di mana peserta ditugaskan ke salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan menggunakan kaedah rawak) yang membandingkan rejimen antibiotik yang berbeza, yang merangkumi sebilangan kecil peserta. Setiap kajian menyiasat pelbagai jenis dan dos antibiotik. Kajian yang disertakan diterbitkan antara tahun 1998 dan 2019 dan dilakukan di Amerika Syarikat, Sepanyol, Finland, dan Denmark. Bukti adalah terkini sehingga 6 Januari 2020.

Keputusan utama

Ulasan yang dikemas kini mengesahkan penemuan versi asal ulasan. Bukti yang terhad dan kualiti rendah hingga sangat rendah menunjukkan bahawa kesan perbandingan rejimen antibiotik yang berbeza dari segi kadar penyembuhan atau hasil klinikal yang berkaitan adalah tidak pasti. Kesimpulan dari ulasan Cochrane yang dikemas kini ini berdasarkan pada beberapa kajian rawak terkawal dengan risiko berat sebelah yang tinggi. Oleh itu, bukti terkini tidak menyokong atau menolak rejimen terapi antibiotik untuk rawatan endokarditis infektif.

Kualiti bukti

Keyakinan terhadap hasil ulasan ini rendah hingga sangat rendah. Kajian yang disertakan mempunyai batasan dalam cara mereka dirancang dan dilakukan, dan tiga kajian ditaja oleh pengilang ubat yang dinilai. Lebih-lebih lagi, bilangan orang yang terhad dalam kajian menyebabkan keputusan yang tidak menentu. Kajian yang lebih besar diperlukan untuk memberikan lebih banyak maklumat mengenai rejimen antibiotik terbaik untuk merawat orang dengan endokarditis infektif.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information