Ramai dari golongan berusia bimbang jika terjatuh, lebih-lebih lagi selepas mempunyai pengalaman jatuh. Kebimbangan untuk terjatuh boleh memberi kesan serius kepada kesihatan dan kehidupan golongan berusia kerana ia sering mengurangkan aktiviti fizikal dan sosial mereka.
Kami ingin mengetahui sama ada senaman, dalam bentuk aktiviti fizikal yang terancang, tersusun, berulang - ulang yang bertujuan untuk meningkatkan kecergasan fizikal, membantu mengurangkan rasa kebimbangan untuk terjatuh. Jenis intervensi senaman termasuk latihan keseimbangan, latihan kekuatan dan rintangan dan latihan tiga dimensi (3D), seperti tarian atau Tai Chi. Senaman boleh dilakukan dalam pelbagai cara. Ia boleh melibatkan sesi berkumpulan di mana peserta diajar dalam kelas oleh pengajar atau individu yang diberi buku panduan senaman, DVD atau pitavideo untuk membolehkan mereka melakukan senaman sendiri tanpa pengawasan.
Kami telah mencari kajian-kajian perubatan sehingga Julai 2013 untuk mengkaji kesan senaman dan melaporkan kebimbangan untuk terjatuh dalam golongan yang tinggal dalam komuniti (iaitu yang tinggal sama ada di rumah atau di tempat kediaman yang tidak menyediakan penjaga atau penjagaan kejururawatan atau rehabilitasi) yang berumur 65 tahun tahun dan lebih tua. Kajian-kajian ini membandingkan senaman tanpa rawatan atau intervensi alternatif, seperti pendidikan.
Rumusan bukti
Sebanyak 30 kajian telah kami sertakan dalam ulasan ini, dengan sejumlah 2878 peserta yang mempunyai umur purata antara 68 hingga 85 tahun. Kebanyakan kajian merekrut terutamanya wanita. Sebanyak dua belas kajian merekrut peserta yang mempunyai peningkatan risiko untuk terjatuh dan tiga daripada orang yang direkrut ini juga mempunyai kebimbangan untuk terjatuh. Kesemua kajian mempunyai risiko bias adalah disebabkan terutamanya para peserta mengetahui kumpulan mana yang mereka sertai. Bias ini mungkin mempengaruhi keputusan kajian.
Kami menemui bukti berkualiti rendah daripada 24 kajian bahawa intervensi senaman memberi pengurangan kecil kepada sederhana dalam kebimbangan untuk terjatuh serta-merta selepas intervensi. Sesetengah analisis penerokaan tidak membolehkan kami menentukan sama ada kesan ini berbeza dalam kalangan kumpulan orang yang berbeza, seperti mereka yang berrisiko tinggi untuk terjatuh, atau dengan kepelbagaia senaman berbeza, seperti senaman secara kumpulan atau individu. Kami sangat tidak pasti bahawa kesan senaman terhadap kebimbangan untuk terjatuh dapat dikekalkan untuk beberapa bulan akan datang selepas tamat intervensi.
Kami hanya sertakan kajian-kajian yang melaporkan kebimbangan untuk terjatuh, oleh itu bukti mengenai hasil kami yang lain (berlakunya jatuh, kemurungan, kebimbangan dan aktiviti fizikal) hanyalah sebahagian kecil daripada jumlah bukti kesan senaman terhadap hasil ini. Walau bagaimanapun, bukti daripada sembilan kajian yang disertakan dalam ulasan kami menunjukkan bahawa senaman mengurangkan risiko dan bilangan jatuh adalah konsisten dengan keputusan rumusan Cochrane yang lain yang menguji kesan senaman untuk mencegah kejatuhan. Bukti mengenai hasil yang lain adalah jauh lebih sedikit dan tiada kajian disertakan yang melaporkan kesan intervensi senaman terhadap pengelakan aktiviti atau kos.
Kesimpulan
Kami menyimpulkan bahawa intervensi senaman dalam kalangan golongan mereka yang berumur yang tinggal dalam komuniti mungkin mengurangkan kebimbangan untuk terjatuh ke satu tahap yang terhad sebaik sahaja selepas intervensi, tanpa meningkatkan risiko atau kekerapan jatuh. Kami juga menyimpulkan bahawa tidak ada bukti yang mencukupi untuk menentukan sama ada intervensi senaman mengurangkan kebimbangan untuk jatuh selepas tamat intervensi atau kesan terhadap hasil yang lain. Kami menggalakkan penyelidikan lanjut mengenai topik ini.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan. Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).