Kesan intervensi untuk mengurus pergerakan pekerja kesihatan antara sektor kesihatan awam dan swasta

Penyelidik dalam Kerjasama Cochrane menjalankan ulasan untuk menilai kesan pendekatan untuk menggalakkan pekerja kesihatan bekerja di fasiliti penjagaan kesihatan yang tertentu. Selepas mencari semua kajian yang berkaitan, mereka tidak dapat menemui sebarang kajian yang memenuhi keperluan mereka untuk disertakan dalam ulasan ini.

Latar belakang

Banyak negara mengalami kekurangan pekerja kesihatan yang teruk. Di samping itu, pekerja kesihatan yang ada selalunya tidak diagihkan dengan cara yang terbaik. Kebanyakan pekerja kesihatan bekerja di kawasan bandar, yang menyebabkan kawasan luar bandar kurang mendapat perkhidmatan. Masalah juga berlaku di kawasan bandar kerana pekerja kesihatan di sini selalunya lebih suka bekerja dalam sektor penjagaan kesihatan swasta, yang selalunya terlalu mahal untuk orang ramai. Di kawasan luar bandar, kerajaan mungkin tidak membina kemudahan kesihatan dan satu-satunya penjagaan kesihatan yang sedia ada di kawasan ini mungkin adalah penjagaan kesihatan swasta. Walau bagaimanapun, kemudahan swasta di kawasan luar bandar bukan sahaja mahal tetapi mungkin juga bergelut untuk menarik pekerja kesihatan yang berkelayakan.

Untuk menangani masalah ini, kerajaan perlu mencari cara untuk memastikan lebih ramai pekerja kesihatan bekerja di kawasan dan kemudahan di mana kebanyakan orang mendapatkan penjagaan kesihatan. Ini mungkin, sebagai contoh, melibatkan galakan pekerja kesihatan untuk bekerja di kemudahan penjagaan kesihatan awam di bandar atau bekerja di kemudahan awam atau swasta di kawasan luar bandar. Satu pendekatan yang boleh diambil oleh kerajaan adalah memberi insentif tambahan kepada pekerja kesihatan yang berkhidmat di kemudahan tertentu. Insentif ini boleh merangkumi gaji yang lebih tinggi, elaun khas atau pakej persaraan yang lebih tinggi. Pendekatan lain adalah memberi dermasiswa atau biasiswa kepada pekerja kesihatan semasa latihan dengan syarat mereka bekerja di kemudahan tertentu untuk tempoh masa yang ditetapkan selepas mereka tamat latihan.

Keputusan

Walaupun jenis pendekatan ini bukan perkara biasa, ulasan tidak menemui sebarang kajian berkaitan yang memberikan penilaian yang boleh dipercayai tentang kesannya. Masih banyak kajian yang perlu dilakukan untuk memahami bagaimana kerajaan boleh memastikan pekerja kesihatan berkhidmat di kemudahan kesihatan yang menawarkan penjagaan kesihatan kepada kebanyakan penduduk.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Tang Kar Foong (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiurd.edu.my

Tools
Information