Pengurusan kelainan kecil sitologi yang dikenal pasti pada saringan serviks

Isunya
Program saringan serviks mengurangkan risiko kanser serviks, melalui penggunaan sitologi serviks (ujian calitan), yang bertujuan untuk mengesan dan merawat sebarang perubahan prakanser yang mungkin menyebabkan sebilangan wanita berisiko mendapat penyakit invasif (kanser serviks invasif) pada masa depan. Biasanya hanya perubahan prakanser yang teruk memerlukan rawatan, namun, terdapat beberapa perbezaan dalam bagaimana untuk menguruskan wanita dengan perubahan kecil sitologi (sel skuamus atipikal dengan kepentingan yang tidak dapat ditentukan (ASCUS/sempadan) atau lesi intraepitelium skuamus gred rendah (LSIL/diskariosis ringan) jika ujian HPV (papilomavirus manusia) tidak tersedia secara rutin.

Tujuan ulasan
Kami bertujuan untuk menilai sama ada kolposkopi segera atau ‘penantian berjaga-jaga’, dengan sitologi serviks berulang, adalah lebih baik untuk wanita dengan kelainan kecil sitologi serviks.

Apakah penemuan utama?
Kami menyertakan 5 kajian rawak terkawal melibatkan 11,466 peserta dengan kelainan kecil sitologi serviks, dirawat dengan kolposkopi segera atau sitologi berulang. Kajian-kajian yang disertakan menilai perbezaan dalam kejadian lesi prakanser serviks antara dua rawatan tersebut.

Keputusan menunjukkan bahawa wanita yang menghadiri kolposkopi segera selepas satu ujian sitologi serviks abnormal gred rendah adalah lebih cenderung untuk dikesan penemuan yang tidak signifikan secara klinikal daripada wanita yang diuruskan dengan ‘penantian berjaga-jaga’.

Terdapat 18 kes kanser serviks invasif, tujuh dalam kumpulan kolposkopi segera dan 11 dalam kumpulan pengawasan sitologi. Kadar pengesanan lesi gred rendah yang tidak signifikan secara klinikal adalah lebih tinggi dalam kumpulan kolposkopi segera, begitu juga kadar pengesanan lesi prakanser gred tinggi yang lebih signifikan secara klinikal (CIN2 atau lebih teruk) pada 18 bulan, tetapi tidak pada 24 bulan.

Risiko ketidakpatuhan adalah sangat lebih besar untuk kumpulan sitologi berulang dan meningkat seiring dengan tempoh susulan.

Apakah kualiti bukti ini?
Kami menilai bukti ini sebagai berkualiti rendah ke sederhana.

Apakah kesimpulannya?
Ujian DNA HPV terbukti menjadi alat triaj yang berkesan untuk wanita dengan kelainan kecil sitologi serviks. Walau bagaimanapun, ujian ini tidak tersedia secara rutin di seluruh dunia. Oleh itu, jika ujian DNA HPV tidak tersedia, kolposkopi segera berkemungkinan mengesan lebih banyak lesi prakanser lebih awal daripada pengawasan sitologi, tetapi selepas dua tahun didapati tiada perbezaan antara dua pendekatan itu. Wanita boleh dirujuk untuk kolposkopi segera selepas satu ujian sitologi serviks abnormal gred rendah atau sempadan, jika kepatuhan dengan pengawasan sitologi dijangka rendah. Apabila kepatuhan susulan dijangka baik, sitologi serviks berulang boleh ditawarkan, kerana ini mungkin mengurangkan risiko diagnosis dan rawatan berlebihan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu

Tools
Information
Share/Save