Adakah kaedah McKenzie berkesan untuk rawatan sakit pinggang (sub)akut yang tidak spesifik?

Mesej utama

Kaedah McKenzie boleh menyebabkan sedikit atau tiada manfaat dalam kesakitan dan ketidakupayaan kepada orang yang mengalami sakit belakang bawah (sub)akut yang tidak spesifik dalam jangka pendek (hampir dua minggu) dan sederhana (hampir tiga bulan). Kaedah McKenzie bukanlah rawatan yang berkesan untuk sakit belakang bawah (sub)akut yang tidak spesifik. Kami tidak tahu sama ada kaedah McKenzie membawa kepada sebarang kesan sampingan kerana tiada satu pun daripada kajian yang dimasukkan dalam ulasan ini mengukur sebarang kesan sampingan.

Apakah itu sakit belakang bawah (sub)akut yang tidak spesifik?

Sakit belakang bawah yang tidak spesifik (NSLBP) adalah jenis sakit belakang yang paling biasa dan terdiri daripada kesakitan atau ketidakselesaan di bahagian bawah belakang yang tidak disebabkan oleh penyakit atau masalah yang boleh dikenal pasti (cth patah tulang, kanser, jangkitan, sakit akar saraf, dll.). NSLBP dianggap (sub)akut apabila kesakitan berlarutan sehingga 12 minggu.

Apakah itu kaedah McKenzie?

Kaedah McKenzie ialah rawatan yang digunakan oleh penyedia penjagaan kesihatan terlatih (biasanya ahli fisioterapi) untuk penjagaan mereka yang menghidap NSLBP. Kaedah ini terdiri daripada program latihan individu berdasarkan petunjuk klinikal (perubahan lokasi sakit atau pergerakan terhad) yang diperhatikan semasa penilaian. Kaedah ini juga termasuk pengajaran postur dan senaman di rumah untuk menggalakkan orang ramai mengawal gejala-gejala diri sendiri.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada kaedah McKenzie berkesan untuk mereka yang mempunyai NSLBP (sub)akut.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang melihat pada kaedah McKenzie berbanding intervensi yang minima (cth. buku kecil dengan maklumat tentang sakit tulang belakang) (perbandingan utama) atau rawatan lain untuk NSLBP (sub)akut. Kami berminat untuk mengetahui sama ada kaedah McKenzie boleh mengurangkan kesakitan dan ketidakupayaan dalam jangka pendek (hampir dua minggu) dan sederhana (hampir tiga bulan). Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui lima kajian yang melibatkan 536 orang. Dua kajian membandingkan kaedah McKenzie dengan intervensi yang minima, tiga kajian membandingkan kaedah McKenzie dengan terapi manual, (iaitu amali terapi yang disediakan oleh doktor) dan satu membandingkan kaedah McKenzie dengan intervensi lain (urut belakang dan nasihat doktor). Kesemua lima kajian telah dijalankan di negara berpendapatan tinggi (tiga kajian di AS, satu kajian di Australia, dan satu kajian di Scotland). Tiga daripadanya dibiayai oleh sumber bukan komersial dan dua lagi tidak memberikan maklumat mengenai sumber pembiayaan.

Perbandingan utama kami terhadap kaedah McKenzie berbanding intervensi yang minima mendapati bahawa kaedah McKenzie boleh mengakibatkan sedikit pengurangan dalam kesakitan dan ketidakupayaan (skala 0- hingga 100 mata, skor yang lebih rendah bermakna kurang kesakitan dan kurang ketidakupayaan):

- Sakit: bertambah baik sebanyak 7.30 mata (12.04 lebih baik kepada 2.56 lebih baik) dalam jangka pendek (2 kajian, 328 peserta); dan bertambah baik sebanyak 5.00 mata (14.29 lebih baik kepada 4.29 lebih teruk) dalam jangka sederhana (1 kajian, 180 peserta).
- Ketidakupayaan: bertambah baik sebanyak 2.74 mata (7.52 lebih baik kepada 2.04 lebih baik) dalam jangka pendek (2 kajian, 328 peserta); dan bertambah baik sebanyak 0.87 mata (7.31 lebih baik kepada 5.57 lebih teruk) dalam jangka sederhana (1 kajian, 180 peserta).

Perbandingan kedua kami bagi kaedah McKenzie berbanding terapi manual mendapati bahawa kaedah McKenzie mungkin tidak mengurangkan kesakitan atau ketidakupayaan (skala 0- hingga 100 mata, skor yang lebih rendah bermakna kurang kesakitan dan kurang ketidakupayaan):

- Kesakitan: bertambah baik sebanyak 8.67 mata (27.37 lebih baik kepada 10.02 lebih teruk) dalam jangka pendek (3 kajian, 298 peserta); dan bertambah buruk sebanyak 7.00 mata (0.70 lebih teruk kepada 13.30 lebih teruk) dalam jangka sederhana (1 kajian, 235 peserta).
- Ketidakupayaan : bertambah baik sebanyak 4.98 mata (15.00 lebih baik kepada 5.04 lebih teruk) dalam jangka pendek (3 kajian, 298 peserta); dan bertambah buruk sebanyak 4.30 mata (0.72 lebih baik kepada 9.32 lebih teruk) dalam jangka sederhana (1 kajian, 235 peserta).

Perbandingan ketiga kami terhadap kaedah McKenzie berbanding intervensi lain (urut belakang dan nasihat doktor) mendapati bahawa kaedah McKenzie mungkin tidak mengurangkan ketidakupayaan (skala 0- hingga 100 mata, skor yang lebih rendah bermakna kurang ketidakupayaan):

- Ketidakupayaan: bertambah burk sebanyak 4.00 mata (15.44 lebih baik kepada 23.44 lebih teruk) dalam jangka pendek (1 kajian, 30 peserta); dan bertambah buruk sebanyak 10.0 mata (8.95 lebih baik kepada 28.95 lebih teruk) dalam jangka sederhana (1 kajian, 25 peserta).

Tiada satu pun daripada kajian yang dimasukkan dalam ulasan ini mengukur kesan yang tidak diingini.

Apakah batasan bukti?

Kami tidak yakin dengan bukti kerana tiada kajian yang mencukupi, kajian berskala kecil, dan kami mempunyai kebimbangan tentang kaedah beberapa kajian dijalankan.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Ulasan ini merangkumi kajian yang diterbitkan sehingga 15 Ogos 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Hui Jen Chua (Taylor’s University). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information