Apakah manfaat dan kemudaratan pelbagai rawatan untuk sengatan obor-obor?

Mengapakah soalan ini penting?

Sengatan obor-obor adalah biasa di kawasan pantai seluruh dunia. Sel penyengat khusus pada obor-obor yang dipanggil nematosista menghasilkan sengatan. Sengatan obor-obor yang berbeza spesies menghasilkan gejala yang berbeza dengan tahap keseriusan yang berbeza. Gejala ringan termasuklah kesakitan, kemerahan dan gatal-gatal di tempat sengatan. Walau bagaimanapun, reaksi terhadap sesetengah spesies obor-obor boleh menjadi lebih serius, dan kadangkala boleh membawa kepada kematian. Memahami manfaat dan kemudaratan pelbagai rawatan akan membantu mengetahui bagaimana cara terbaik bagi merawat kesan sengatan obor-obor.

Bagaimana kami mengenalpasti dan menilai bukti?

Kami mencari literatur perubatan untuk kajian rawatan yang berbeza untuk sengatan obor-obor. Kami membandingkan dan meringkaskan hasil kajian untuk spesies obor-obor yang berbeza. Kami juga menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian, dan konsistensi penemuan bagi semua kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui sembilan kajian dengan 574 peserta, yang menilai tiga kumpulan rawatan. Kami mendapati tiada kajian yang menilai jenis rawatan keempat (pembalut ketat yang digunakan pada tempat sengatan). 

Kajian yang disertakan semuanya mempunyai bilangan peserta yang kecil dan masalah berkaitan dengan kaedah mereka (contohnya peserta telah mengetahui jenis rawatan, atau disebabkan ramai peserta meninggalkan kajian sebelum ia tamat). Kami juga menemui beberapa perbezaan dalam penemuan antara kajian, yang tidak dapat kami jelaskan. Kami menggunakan isu ini untuk menilai keyakinan kami terhadap bukti.

Rawatan panas atau sejuk

Empat kajian membandingkan rawatan panas atau sejuk. Dalam dua kajian, terdapat pesakit yang tidak sengaja disengat oleh obor-obor botol biru di Australia. Dalam dua kajian lain, terdapat pesakit yang tidak sengaja disengat oleh obor-obor kotak Hawaii atau obor-obor kotak major di Australia dan Hawaii, Amerika Syarikat; obor-obor kotak ini tidak menyebabkan sindrom Irukandji (keadaan yang mungkin membawa kepada komplikasi serius, dan kadangkala membawa kepada kematian). Kajian-kajian ini melihat kesan rawatan terhadap kelegaan kesakitan. Haba dikenakan pada tempat sengatan menggunakan pek panas atau air panas (dengan pancuran mandian, tab mandi, baldi atau hos). Kesejukan dikenakan dengan menggunakan pek ais atau pek sejuk. Pesakit telah dirawat di pantai atau di hospital.

Disebabkan keyakinan terhad kami terhadap bukti yang ada, kami tidak dapat mengetahui sama ada mengenakan haba atau kesejukan pada sengatan obor-obor mengurangkan atau menghentikan kesakitan dalam masa satu jam daripada rawatan; mengurangkan keperluan untuk rawatan semula atau beralih kepada rawatan alternatif; mengurangkan tindak balas kulit dalam 24 jam pertama (kegatalan, tanda merah atau ruam); atau menyebabkan sebarang kemudaratan (melecur atau kemerahan sementara di sekitar tempat aplikasi). Penemuan ini berkait secara langsung dengan jenis obor-obor yang diterangkan dalam bahagian ini. 

Rawatan topikal

Empat kajian membandingkan rawatan topikal yang digunakan pada kulit pada dan sekitar tempat sengatan. Dalam satu kajian, pesakit telah dirawat di pantai selepas tidak sengaja disengat oleh obor-obor kotak Hawaii di Hawaii. Dalam tiga kajian selebihnya, peserta kajian disengat secara sukarela dalam persekitaran makmal.

Rawatan termasuk: air tawar, air laut, Sting Aid (produk komersil), pelembut daging Adolph (papain, enzim yang terdapat dalam betik), isopropil alkohol, ammonia, air yang dipanaskan, asid asetik atau natrium bikarbonat. Dalam sesetengah rawatan ini, cuka juga digunakan pada tempat sengatan. 

Disebabkan keyakinan kami yang rendah terhadap bukti yang ada, kami tidak dapat mengetahui sama ada menggunakan mana-mana rawatan ini pada sengatan obor-obor mengurangkan atau menghentikan kesakitan dalam tempoh enam jam daripada rawatan, atau menyebabkan kemudaratan. Satu kajian menarik balik rawatan (ammonia) kerana seorang peserta mengalami pembakaran kimia selepas rawatan ini. Penemuan ini berkait secara langsung dengan jenis obor-obor yang diterangkan dalam bahagian ini. Kajian-kajian ini tidak melihat kepada rawatan semula, peralihan kepada kajian rawatan alternatif atau tindak balas kulit.

Rawatan parenteral

Rawatan ini disuntik terus ke dalam badan (di bawah kulit, ke dalam otot, vena atau tulang belakang). Dalam satu kajian, pesakit telah dirawat di hospital selepas tidak sengaja disengat oleh obor-obor kotak yang menyebabkan sindrom Irukandji. Rawatan termasuklah magnesium sulfat atau plasebo (yang kelihatan seperti rawatan tetapi tidak mempunyai bahan aktif), yang diberikan secara intravena (terus ke dalam aliran darah melalui vena). 

Kajian ini tidak menyelidik kelegaan kesakitan dengan cara yang boleh disertakan dalam ulasan ini, dan tidak mengukur sebarang hasil yang kami ingini.

Apakah maksudnya?

Kami mempunyai keyakinan yang sedikit terhadap bukti. Adalah tidak jelas sama ada mana-mana rawatan yang dinilai mengurangkan atau menghentikan kesakitan, atau memberikan manfaat lain bagi pesakit yang telah disengat oleh spesies obor-obor dalam kajian-kajian ini. Penemuan dalam ulasan ini hanya berkait dengan sengatan daripada sebilangan kecil spesies obor-obor yang didapati di Australia, Malaysia dan Hawaii (Amerika Syarikat). Oleh itu, penemuan ini tidak boleh digunakan untuk menentukan pilihan rawatan untuk sebarang jenis obor-obor lain. 

Sejauh manakah terkininya ulasan ini?

Bukti dalam Ulasan Cochrane ini adalah terkini setakat Oktober 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information