Berapa tepat pengimejan resonans magnetik untuk diagnosis awal demensia kerana penyakit Alzheimer pada orang yang mempunyai kecacatan kognitif ringan?

Mengapa meningkatkan diagnosis penyakit Alzheimer penting?

Kecacatan kognitif adalah apabila orang mempunyai masalah mengingati, belajar, menumpukan perhatian dan membuat keputusan. Orang yang mempunyai kecacatan kognitif ringan (MCI) secara amnya mempunyai masalah ingatan yang lebih daripada orang lain dari usia mereka, tetapi masalah ini tidak cukup teruk untuk diklasifikasikan sebagai demensia. Kajian menunjukkan bahawa orang dengan MCI dengan kehilangan memori lebih cenderung mendapat demensia penyakit Alzheimer (kira-kira 10% hingga 15% kes setiap tahun) daripada orang tanpa MCI (1% kepada 2% setahun). Pada masa ini, satu-satunya cara yang boleh dipercayai untuk diagnosis penyakit Alzheimer adalah mengikuti orang dengan MCI dan menilai perubahan kognitif selama bertahun-tahun. Pengimejan resonans magnetik (MRI) boleh mengesan perubahan dalam struktur otak yang menunjukkan permulaan penyakit Alzheimer. Diagnosis awal MCI disebabkan oleh penyakit Alzheimer adalah penting kerana orang dengan MCI boleh mendapat manfaat daripada rawatan awal untuk mencegah atau melambatkan kemerosotan kognitif.

Apakah tujuan ulasan ini?

Untuk menilai ketepatan diagnostik MRI untuk diagnosis awal demensia kerana penyakit Alzheimer dalam orang dengan MCI.

Apa yang telah dikaji dalam ulasan?

Jumlah isipadu beberapa kawasan otak telah diukur dengan MRI. Kebanyakan kajian (22 kajian, 2209 peserta) mengukur isipadu hipokampus, kawasan otak yang dikaitkan terutamanya dengan ingatan.

Apakah hasil utama ulasan ini?

Tiga puluh tiga kajian kajian adalah layak, di mana 3935 peserta dengan MCI telah dimasukkan dan diikuti selama dua atau tiga tahun untuk melihat jika mereka mendapat demensia penyakit Alzheimer. Kira-kira sepertiga daripada mereka mendapat demensia penyakit Alzheimer, dan yang lain tidak atau mendapat lain-lain jenis demensia.

Kami mendapati bahawa MRI tidak cukup tepat untuk mengenal pasti orang dengan MCI yang akan mendapat demensia disebabkan penyakit Alzheimer. Ramalan tepat penyakit Alzheimer akan terlepas pada 81 daripada 300 orang dengan MCI (palsu negatif) dan ramalan salah penyakit Alzheimer akan dibuat dalam 203 daripada 700 orang dengan MCI (positif palsu). Akibatnya, orang dengan diagnosis negatif palsu akan diyakinkan dengan palsu dan tidak akan mempersiapkan diri untuk menghadapi penyakit Alzheimer, sementara mereka yang mempunyai diagnosis positif palsu akan menderita diagnosis yang tidak dijangka.

Berapakah kepercayaan hasil kajiannya?

Kajian yang terlibat mendiagnos dementia penyakit Alzheimer dengan menilai kesemua peserta dengan kriteria klinikal yang standard selepas dua atau tiga tahun susulan. Kami mempunyai kebimbangan tentang bagaimana kajian dijalankan, kerana para peserta telah dipilih melalui pendaftaran klinikal dan pusat rujukan, dan kami juga mempunyai kebimbangan tentang bagaimana kajian mentafsir MRI. Selain itu, kajian telah dijalankan secara berbeza antara satu sama lain, dan mereka menggunakan kaedah yang berbeza untuk memilih orang dengan MCI dan melakukan MRI.

Untuk siapakah keputusan ulasan ini dapat dipakai?

Keputusan tidak terpakai kepada orang dengan MCI dalam komuniti, tetapi hanya kepada orang yang mempunyai MCI yang menghadiri klinik ingatan atau pusat rujukan.

Apakah implikasi ulasan ini?

MRI, sebagai ujian tunggal, tidak tepat untuk diagnosis awal demensia penyakit Alzheimer dalam orang dengan MCI kerana satu daripada tiga atau empat peserta menerima diagnosis penyakit Alzheimer yang salah. Penyelidikan masa hadapan tidak harus memberi tumpuan kepada satu ujian (seperti MRI), tetapi sebaliknya pada kombinasi ujian untuk meningkatkan diagnosis awal demensia penyakit Alzheimer.

Sehingga bilakah ulasan ini dikemaskini?

Bukti adalah terkini sehingga 29 Januari 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information