Latihan renang untuk penyakit asma dalam kalangan kanak-kanak dan remaja yang berumur 18 tahun dan ke bawah

Penyakit asma adalah antara punca utama di kalangan kanak-kanak dan remaja yang berdeham, batuk dan rasa ketat dada. Kebimbangan bahawa senaman fizikal seperti berenang akan memburukkan keadaan asma boleh mengurangkan penyertaan dan mengakibatkan kemudaratan kesihatan fizikal. Ulasan in bertujuan untuk mengenalpasti keberkesanan dan keselamatan latihan renang untuk kanak-kanak dan remaja yang ada asma yang berumur 18 tahun dan ke bawah.

Kami mengkaji sebanyak lapan kajian yang melibatkan 262 peserta yang berumur lima tahun sampai 18 tahun yang ada asma dalam kawalan baik. Dalam tujuh kajian, mereka menjalani latihan renang yang berbeza-beza, dari 30 hingga 90 minit, dua hingga tiga kali seminggu untuk enam hingga 12 minggu, manakala dalam satu kajian yang lain, latihannya berlangsung untuk 30 minit untuk 6 kali seminggu.

Ulasan ini mendapati bahawa ujian fungsi paru-paru semasa berehat dapat ditingkatkan dengan latihan renang jika dibandingkan dengan kawalan(rawatan biasa atau aktiviti fizikal yang lain), tetapi tiada kesan terhadap kualiti hidup ataupun kawalan simptom-simptom serangan asma. Kecergasan fizikal ditingkatkan dengan latihan renang berbanding dengan rawatan biasa. Bilangan laporan kejadian buruk asma yang dilaporkan dalam kalangan peserta semasa program latihan renang adalah tidak tinggi. Bilangan kajian dan peserta yang rendah menghadkan kemampuan ulasan ini untuk menilai beberapa hasil kajian, terutamanya kesan terhadap kualiti hidup dan serangan asma.

Kesimpulannya, latihan renang diterima dengan baiknya oleh kanak-kanak dan remaja yang menghidap penyakit asma yang stabil dan meningkatkan kecergasan fizikal dan fungsi paru-paru. Namun demikian, sama ada berenang adalah lebih baik dan/atau lebih selamat daripada jenis aktiviti fizikal yang lain tidak dapat ditentukan daripada ulasan ini. Kajian lanjutan dengan tempoh susulan yang lebih lama mungkin boleh membantu kita memahami manfaat jangka masa panjang berenang.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Julie Yeo(Taylor's University, Malaysia). Disunting oleh Ernie Yap. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi julieyeohh@gmail.com

Tools
Information
Share/Save