Apakah intervensi yang paling berkesan semasa hamil untuk mencegah kelahiran mati?

Apakah kelahiran mati?

Kelahiran mati amnya ditakrif sebagai kematian bayi sebelum lahir, pada atau selepas 22 minggu perkembangan.

Mengapakah ini penting?

Kelahiran mati boleh menjadi sangat menyedihkan bagi keluarga. Ia paling lazim di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana tetapi juga mempengaruhi orang di negara berpendapatan tinggi. Bilangan kelahiran mati tidak banyak menurun dalam 20 tahun kebelakangan, walaupun jumlah yang tinggi, ia tidak meluas diiktiraf sebagai masalah kesihatan global. Adalah penting untuk meningkatkan kesedaran tentang kaedah berkesan untuk mencegah kelahiran mati, terutama di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Apa yang kami lakukan?

Ulasan sistematik Cochrane intervensi bertujuan untuk menjawab soalan perubatan khusus berdasarkan kajian penyelidikan terkini. Kami mencari semua ulasan sistematik Cochrane yang menilai cara-cara mencegah kelahiran mati semasa hamil untuk menghasilkan gambaran keseluruhan bukti Cochrane tentang pencegahan kelahiran mati.

Apakah bukti yang kami temui?

Kami temui 43 ulasan Cochrane yang menilai 61 cara untuk mencegah kelahiran mati semasa hamil, atau kematian bayi sekitar waktu kelahiran. Walau bagaimanapun, sebilangan kecil menyediakan bukti jelas tentang kesan semasa hamil untuk mengurangkan risiko kelahiran mati atau kematian bayi.

Kami mengumpulkannya ke dalam empat perkara: nutrisi, mencegah jangkitan, mengurus masalah lain kesihatan ibu, dan menjaga bayi sebelum ia lahir.

Nutrisi

- Memberi ibu-ibu penambahan tenaga dan protein yang seimbang untuk meningkatkan pertumbuhan bayi, terutama dalam kalangan wanita hamil yang kurang pemakanan, mungkin mengurangkan 40% kelahiran mati.

- Untuk Vitamin A sahaja berbanding plasebo (palsu) atau tiada rawatan, dan pelbagai mikronutrien dengan zat besi dan asid folik berbanding zat besi dengan atau tanpa asid folik, terdapat bukti jelas tiada kesan.

Pencegahan dan pengurusan jangkitan

- Jaring yang dirawat dengan racun serangga anti-malaria berbanding tiada jaring mungkin mengurangkan kehilangan bayi dalam rahim (janin) sebanyak 33%.

Pencegahan, pengesanan dan pengurusan masalah kesihatan lain

- Di mana bidan adalah penyedia penjagaan kesihatan utama, terutamanya untuk wanita hamil berisiko rendah, kehilangan janin atau kematian bayi berkurang sebanyak 16%.

- Mempunyai pengiring kelahiran tradisional yang terlatih berbanding pengiring kelahiran tradisional tidak terlatih mungkin mengurangkan kelahiran mati dalam populasi luar bandar di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana sebanyak 31% dan kematian bayi sebanyak 30%.

- Pengurangan jumlah lawatan penjagaan antenatal mungkin menyebabkan peningkatan kematian bayi sekitar waktu kelahiran.

- Pakej intervensi berasaskan komuniti (termasuk kumpulan sokongan komuniti/kumpulan wanita, mobilisasi komuniti dan lawatan ke rumah, atau melatih pengiring kelahiran tradisional yang membuat lawatan ke rumah) mungkin mengurangkan kelahiran mati sebanyak 19%.

Memeriksa bayi sebelum kelahiran

- Kardiotokografi mengukur kadar denyut jantung bayi dan pengecutan rahim. Ia boleh dirakam secara automatik oleh komputer atau secara manual, dengan pen dan kertas. Kardiotokografi berkomputer untuk memantau kesejahteraan bayi dalam rahim, dengan mengukur pengecutan, mungkin mengurangkan kadar kematian bayi sekitar waktu kelahiran sebanyak 80% berbanding kardiotokografi tradisional.

Kami tidak pasti tentang kesan kaedah-kaedah lain.

Apakah maksudnya?

Kami mendapati banyak ulasan tetapi sedikit yang menghasilkan bukti jelas. Keberkesanan kaedah-kaedah yang diguna untuk mencegah kelahiran mati berbeza bergantung kepada di mana ia berlaku, menekankan adalah penting untuk memahami bagaimana ia diuji. Penemuan-penemuan itu tidak boleh diaplikasi kepada wanita secara umum dan merentasi semua persekitaran global.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information