Ujian pengimejan untuk diagnosis bukan invasif endometriosis

Soalan ulasan

Berapa tepatkah ujian pengimejan dalam pengesanan endometriosis? Bolehkah ujian pengimejan menjadi cukup tepat untuk mengganti atau mengurangkan keperluan pembedahan dalam diagnosis endometriosis?

Latar belakang

Wanita dengan endometriosis mempunyai tisu endometrial (tisu yang melapisi rahim dan gugur semasa haid) di luar rahim di dalam pelvis, menyebabkan kesakitan abdominal kronik dan kesukaran untuk hamil. Terkini, cara yang boleh dipercaya untuk mendiagnos endometriosis ialah dengan melakukan pembedahan laparoskopik dan melihat longgokan endometrium di dalam abdomen. Oleh kerana pembedahan adalah berisiko dan mahal, ujian pengimejan telah dinilai untuk mengesan endometriosis secara bukan invasif. Ujian pengimejan yang tepat boleh membawa kepada diagnosis endometriosis tanpa memerlukan pembedahan, atau ia boleh mengurangkan keperluan untuk pembedahan,oleh itu hanya wanita yang paling mungkin mempunyai endometriosis memerlukannya. Tambahan, jika ujian pengimejan dapat meramalkan dengan tepatt lokasi lesi endometrium, pakar bedah akan memperoleh maklumat yang diperlukan untuk merancang dan memperbaiki kaedah pembedahan. Kaedah bukan invasif lain untuk diagnosis endometriosis adalah menggunakan air kencing, darah, endometrium dan ujian-ujian kombinasi telah dinilai dalam ulasan Cochrane berasingan dari siri ini.

Ciri-ciri kajian

Bukti di dalam ulasan ini adalah terkini sehingga April 2015. Kami memasukkan 49 kajian yang melibatkan 4807 peserta. Tiga belas kajian menilai endometriosis pelvik, 10 kajian menilai endometrioma ovari, 15 kajian endometriosis yang dalam (endometriosis di bahagian dalam tisu-tisu pelvis) dan 33 kajian endometriosis di tapak spesifik dalam kaviti pelvik. Semua kajian melibatkan wanita dalam usia reproduktif yang sedang menjalani pembedahan diagnostik kerana mempunyai simptom-simptom endometriosis.

Keputusan-keputusan utama

Tiada kaedah-kaedah pengimejan yang cukup tepat untuk memberi maklumat tentang endometriosis pelvik secara keseluruhan. Ultrasound transfaraj mengenalpasti endometriosis ovari dengan cukup tepat bagi membantu pakar bedah menentukan sama ada pembedahan diperlukan, dan pengimejan resonans magnetik (MRI) adalah cukup tepat untuk menggantikan pembedahan bagi mendiagnosis endometrioma tetapi hanya dinilai di dalam sebilangan kecil kajian. Ujian-ujian pengimejan lain dinilai dalam kajian-kajian tunggal yang kecil dan tidak dapat dinilaikan secara tepat. Ultrasound transfaraj boleh diguna untuk mengesan lebih banyak bahagian anatomikal endometriosis yang dalam berbanding MRI, seterusnya membantu pakar bedah merancang prosedur pembedahan dengan lebih baik. Endometriosis di bahagian usus bawah lebih tepat dikesan oleh kedua-kedua ultrasound transfaraj and transrektum, melalui MRI atau tomografi enema berkomputer multi-pengesan. Ultrasound dan MRI yang baharu menunjukkan potensi mengesan endometriosis tetapi terlalu kurang kajian-kajian untuk menunjukkan nilai diagnostik dengan jelas.

Kualiti bukti

Secara am, metodologi kajian-kajian tersebut berkualiti rendah, dan kebanyakan teknik pengimejan hanya dinilai oleh sebilangan kecil kajian. Perbezaan di antara kajian adalah cara pelaksanaan, kumpulan wanita yang dikaji, cara ujian pengimejan dilaksanakan serta bagaimana pembedahan dibuat.

Penyelidikan masa depan

Penyelidikan berkualiti tinggi tambahan diperlukan untuk menilai dengan tepat potensi diagnostik ujian pengimejan bukan invasif untuk endometriosis.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Denise Chai (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi denisechai@ms.pmc.edu.my

Tools
Information