Sakit pangkal paha berkaitan senaman adalah perkara lazim dalam aktiviti sukan terutamanya yang melibatkan larian, tendangan, dan mengubah arah, seperti bola sepak dan hoki. Atlet boleh mengalami kelewatan selama beberapa bulan sebelum mampu kembali bersukan, dan begitu mungkin tidak berada pada tahap mereka sebelumnya. Biasanya doktor merawat keberadaan dua atau lebih masalah yang berlaku sekaligus, seperti ketegangan otot, tendon dan ligamen dan reaksi tekanan tulang. Intervensi konservatif secara amnya adalah pilihan rawatan utama dan melibatkan rehat dalam tempoh awal; penguatan otot yang menstabilkan pelvis dan sendi pinggul; meregangkan otot pinggul; elektroterapi (sebagai contoh, rangsangan elektrik merentasi kulit (TENS), terapi laser dan ultrasound); terapi manual; ubat anti-randang tanpa steroid; suntikan steroid atau proloterapi (suntikan yang merangsang pengeluaran faktor pertumbuhan untuk mendorong pertumbuhan dan pembaikan tisu normal).
Dua kajian rawak terkawal, melibatkan sejumlah 122 atlet yang mengalami sakit pangkal paha berkaitan senaman, telah dimasukkan ke dalam ulasan ini. Peserta berumur antara 18 dan 50 tahun dan semuanya kecuali satu adalah lelaki. Mereka mengalami sakit pangkal paha selama sekurang-kurangnya dua bulan. Satu kajian menunjukkan keputusan positif dalam atlet yang dirawat dengan terapi senaman (penguatan otot pinggul dan abdomen, dan latihan koordinasi otot) berbanding dengan fisioterapi ‘konvensional’ yang terdiri dari modaliti pasif (latihan regangan, elektroterapi dan urut geseran melintang) 16 minggu selepas tamat rawatan, untuk ‘rawatan yang berjaya’ (berdasarkan ukuran sakit) dan untuk kadar kembali bersukan pada tahap yang sama tanpa sakit pangkal paha. Kajian kedua membandingkan rawatan pelbagai modal (haba, terapi manual dan regangan) dengan terapi senaman dan menemui tiada perbezaan ketara antara kumpulan untuk ‘rawatan berjaya’ dan kembali bersukan, tetapi menunjukkan kembali bersukan yang lebih awal bagi atlet yang mencapai hasil ini setelah rawatan pelbagai modal.
Bukti yang tersedia adalah eksklusif kepada atlet dan terhad kerana bilangan kajian yang sedikit dan bilangan peserta yang sedikit bagi setiap hasil. Kajian rawak terkawal lanjutan adalah diperlukan untuk mengesahkan keputusan ini.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Muhammad Ibrahim Bin Johari (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).