Program merawat malaria berasaskan rumah atau komuniti

Malaria adalah punca utama kematian terutamanya di kalangan kanak-kanak dan wanita mengandung di sub-Sahara Afrika. Di kebanyakan kawasan luar bandar, kanak-kanak tidak dapat mengakses rawatan malaria yang berkesan kerana perkhidmatan kesihatan adalah sama ada terlalu jauh atau ubat anti malaria adalah terlalu mahal. Program bagi menangani malaria berasaskan rumah atau komuniti telah dicadangkan sebagai strategi utama untuk mengatasi masalah ini. Melalui program ini, penduduk yang tinggal di persekitaran luar bandar seperti para ibu, para sukarelawan, atau pekerja kesihatan masyarakat telah dilatih untuk mengenalpasti demam dan memberi ubat anti malaria pada kos yang rendah atau secara percuma. Malaria bukan satu-satunya punca demam dan ujian diagnostik pantas (RDTs) telah didapati pada kebelakangan ini. Ujian-ujian ini mudah digunakan dan membolehkan pekerja-pekerja terlatih untuk mendiagnos malaria dengan lebih tepat dan merujuk kanak-kanak sakit tanpa malaria untuk penjagaan di tempat lain.

Kami meneliti kajian yang diterbitkan sehingga 12 September 2012 dan kami telah mengenal pasti 10 buah kajian untuk dimasukkan ke dalam kajian sistematik ini. Dalam lapan buah kajian semua orang yang demam telah dirawat dengan ubat anti malaria oleh pekerja kesihatan masyarakat dan dalam dua buah kajian pula pekerja kesihatan masyarakat telah dilatih untuk mengesahkan malaria pada orang yang menggunakan RDTs.

Strategi berasaskan rumah atau komuniti mungkin meningkatkan bilangan orang demam yang menerima anti malariasecara berkesan dalam masa 24 jam ( kualiti bukti sederhana Strategi ini mungkin mengurangkan jumlah kematian di kawasan di mana malaria adalah perkara biasa dan kekurangan akses pada perkhidmatan kesihatan ( kualiti bukti sederhana ) tetapi setakat ini hanyasatu kajian dari persekitaran luar bandar di Ethiopia menunjukkan bukti ini. Kita tidak tahu sama ada strategi ini mengurangkan bilangan orang yang memerlukan kemasukan ke hospital ( bukti kualiti yang sangat rendah ), atau bilangan orang dengan bukti jangkitan malaria dalam darah mereka ( kualiti bukti yang sangat rendah ). Program berasaskan rumah atau komuniti mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan pada bilangan orang dengan anemia ( kualiti bukti rendah ). Tiada kajian yang disertakan melaporkan mengenai kesan-kesan buruk menjalankan program untuk merawat malaria berasaskan rumah atau komuniti.

Penggunaan RDTs dan bukannya diagnosis klinikal dalam program berasaskan rumah atau komuniti untuk merawat malaria mungkin mengurangkan peggunaan ubat anti malaria secara berlebihan (kualiti bukti sederhana) dan mungkin mempunyai sedikit atau tiada perbezaan pada jumlah kematian kanak-kanak (kualiti bukti rendah), bilangan kanak-kanak dengan bukti jangkitan malaria dalam darah mereka (kualiti bukti rendah), atau keperluan untuk kanak-kanak dimasukkan ke hospital (kualiti bukti rendah) berbanding penggunaan diagnosis klinikal.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Fairuz Fadzilah Rahim (Penang Medical College). Disunting oleh MW Chan (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini, sila hubungi fairuzfr@yahoo.com.

Tools
Information
Share/Save