Teknik relaksasi untuk pengurusan sakit dalam pelahiran

Apakah isunya?

Ulasan Cochrane ini melihat sama ada teknik rohani dan jasmani untuk relaksasi seperti teknik pernafasan, visualisasi, yoga atau muzik membantu mengurangkan sakit, dan memperbaiki pengalaman pelahiran bagi wanita. Kami mengumpul dan menganalisis semua kajian yang relevtan untuk menjawab soalan ini (tarikh carian: Mei 2017).

Mengapa ini penting?

Sakit pelahiran boleh menjadi sengit, dengan ketegangan badan, kebimbangan dan rasa takut menjadikannya lebih buruk. Ramai wanita ingin melalui pelahiran tanpa menggunakan ubat, atau kaedah invasif seperti epidural. Wanita-wanita ini sering beralih kepada terapi komplementari untuk membantu mengurangkan intensiti sakit dalam pelahiran dan memperbaiki pengalaman pelahiran mereka.

Banyak terapi komplementari digunakan oleh wanita dalam pelahiran, termasuk akupunktur, teknik rohani dan jasmani, urut, refleksologi, ubat herba atau homeopati, hipnosis, muzik dan aromaterapi. Teknik rohani dan jasmani untuk relaksasi boleh diakses secara meluas kepada wanita melalui pengajaran teknik-teknik ini semasa kelas antenatal. Teknik relaksasi termasuklah imej terpandu, relaksasi progresif dan teknik pernafasan. Kami juga memasukkan yoga dan muzik dalam ulasan ini. Ulasan Cochrane lain merangkumi hipnosis dalam pelahiran, kaedah manual (seperti urut dan refleksologi), aromaterapi dan akupunktur/’accupressure’. Kebanyakan teknik relaksasi ini adalah strategi daya tindak yang diguna untuk mengurangkan pengalaman sakit. Teknik-teknik ini menggunakan amalan yang bertujuan untuk mengurangkan tekanan dan mengurangkan persepsi sakit. Adalah penting untuk menilai sama ada terapi ini berkesan dan selamat, untuk membolehkan wanita membuat keputusan yang tepat mengenai penjagaan mereka.

Apakah bukti yang kami perolehi?

Kami mendapati 15 kajian melibatkan 1731 wanita yang menyumbang data kepada analisis. Kajian-kajian tersebut telah dijalankan di seluruh dunia, termasuk negara-negara di Eropah dan Scandinavia, dan Iran, Taiwan, Thailand, Turki dan Amerika Syarikat.

Kami mendapati teknik relaksasi, yoga dan muzik dapat membantu wanita mengurus sakit pelahiran, walaupun kualiti bukti berbeza di antara rendah dan sangat rendah, dan lebih banyak data diperlukan. Juga, dalam kajian-kajian tersebut terdapat variasi cara teknik-teknik ini digunakan. Tiada bukti jelas bahawa terapi ini memberi impak kepada kelahiran vagina atau caesarean. Terdapat data yang tidak cukup untuk mengatakan jika teknik-teknik ini mempengaruhi keadaan bayi ketika lahir.

Apakah maksudnya?

Penggunaan beberapa terapi relaksasi, yoga, atau muzik mungkin dapat membantu mengurangkan intensiti sakit, dan membantu wanita merasa lebih terkawal dan berpuas hati dengan pelahiran mereka. Walau bagaimanapun, variasi meluas jenis-jenis teknik yang diguna dalam kajian-kajian tersebut menyukarkan penyataan khusus apakah yang mungkin membantu wanita. Oleh itu, kajian penyelidikan lanjutan amat diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Mnaipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save