Progestogen yang ditelan dan intrarahim bagi hyperplasia endometrial atipikal (penambahan luar biasa sel-sel lapisan endometrial).

Soalan ulasan

Para penulis Cochrane telah menyiasat keberkesanan dan keselamatan ubat-ubat progestogen yang dberi secara oral dan intrarahim untuk keadaan prakanser iaitu penebalan lapisan rahim (endometrium), yang dipanggil hyperplasia endometrial atipikal.

Latar belakang

Progestin yang ditelan telah digunakan sebagai kaedah rawatan konservatif (bukan pembedahan) untuk wanita muda dengan hyperplasia endometrial atipikal. Namun, progestin yang ditelan dikaitkan dengan kesan-kesan sampingan yang mungkin mengehadkan keberkesannya secara keseluruhan. Sistem pelepasan levonorgestrel intrarahim (LNG-IUS) dipercayai menurunkan risiko hyperplasia endometrial kerana ia melewatkan penebalan lapisan rahim, dan kajian-kajian telah melaporkan bahawa ia mungkin merupakan suatu rawatan konservatif yang sesuai untuk hyperplasia atipikal. Oleh itu, adalah penting untuk menentukan keberkesanan dan keselamatan LNG-IUS dalam merawat hyperplasia atipikal endometrial.

Ciri-ciri Kajian

Ulasan tentang bukti ini telah menemui satu kajian terkawal rawak (RCT) tentang LNG-IUS berbanding terapi progestin oral dalam kalangan wanita dengan apa-apa jenis hyperplasia endometrial. Ia telah dilaksanakan di Norway dan melibatkan 153 orang wanita, tetapi hanya 19 daripada wanita tersebut mempunyai diagnosis histologi yang sah untuk hyperplasia endometrial atipikal; wanita yang lain mempunyai jenis hyperplasia endometrial yang lain. Bukti adalah terkini sehingga Julai 2018

Keputusan-keputusan utama

RCT yang dimasukkan telah membandingan LNG-IUS dengan kaedah oral berterusan atau medroxyprogesterone (MPA) berkala untuk merawat hyperplasia endometrial. Selepas rawatan selama enam bulan, bukti tidak mencukupi untuk menentukan sama ada terdapat perbezaan dalam kadar penurunan antara kumpulan LNG-IUS dan kumpulan MPA. Kadar penurunan adalah 100% dalam kumpulan LNG-IUS (n = 6/6) dan 77% dalam kumpulan MPA (n = 10/13). Dalam jumlah bilangan populasi kajian (N = 153), sewaktu rawatan selama enam bulan, kesan-kesan buruk yang utama adalah loya dan pendarahan faraj. Tiada bukti yang menunjukkan perbezaan antara kumpulan-kumpulan dalam kadar loya, tetapi pendarahan faraj adalah lebih kerap dalam kumpulan LNG-IUS.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah rendah atau sangat rendah untuk semua hasil. Kajian yang dimasukkan adalah dalam risiko rendah bias, tetapi kualiti bukti adalah amat terhad disebabkan oleh kekurangan ketepatan dan ketidak-langsungan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Denise Chai (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi denisechai@ms.pmc.edu.my

Tools
Information