Apakah faedah dan risiko penggunaan laser untuk merawat hipersensitiviti gigi (kesakitan yang pendek dan tajam pada gigi)?

Mesej utama

- Laser mungkin mengurangkan sedikit kesakitan selepas 24 jam. Ia mungkin mengurangkan kesakitan melebihi 24 jam tetapi buktinya adalah sangat tidak pasti.
- Laser nampaknya tidak menimbulkan kesan buruk (tidak diingini).
- Kami memerlukan kajian masa depan untuk mengukuhkan bukti dan menyiasat kesan rawatan laser terhadap kualiti hidup.

Apa yang menyebabkan hipersensitiviti gigi?

Hipersensitiviti gigi adalah kesakitan pendek dan tajam yang bukan disebabkan oleh penyakit gigi atau masalah seperti karies (lubang pada gigi) dan boleh berlaku apabila gigi bersentuhan dengan makanan atau minuman panas atau sejuk; udara sejuk; atau makanan atau minuman tertentu seperti gula dan minuman bersoda (berkarbonat). Ia juga boleh berlaku apabila orang menggosok gigi atau mendapatkan rawatan pergigian profesional.

Bagaimanakah kita boleh merawat hipersensitiviti gigi?

Pilihan untuk merawat hipersensitiviti gigi adalah menggunakan terapi laser (cahaya). Laser menghasilkan pancaran cahaya yang sempit dan fokus, yang digunakan pada gigi yang sakit untuk merawatnya. Bergantung pada jenis laser yang digunakan, rawatan tersebut bertujuan untuk menutup kawasan yang menyakitkan, atau untuk mengebaskannya.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada laser berfungsi untuk merawat hipersensitiviti gigi, dan adakah ia berkaitan dengan kesan yang tidak diingini (buruk).

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang membandingkan laser dengan plasebo (rawatan dummy) atau tiada rawatan untuk merawat hipersensitiviti gigi. Kami telah membanding dan merumuskan keputusan kajian-kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang telah kami temui?

Kami menjumpai 23 kajian dengan jangka masa berbeza sehingga 6 bulan yang melibatkan 936 orang (2296 gigi) berusia lebih 12 tahun dengan hipersensitiviti gigi.

Bukti:

- menunjukkan bahawa laser dapat mengurangkan sedikit kesakitan selepas 24 jam berbanding dengan plasebo atau tanpa rawatan;
- tidak cukup kuat untuk menentukan sama ada laser mengurangkan kesakitan melebihi 24 jam atau tidak; dan
- menunjukkan bahawa laser tidak menyebabkan kesan yang tidak diingini.

Tidak ada kajian yang meneliti kesan rawatan laser terhadap kualiti hidup seseorang.

Apakah batasan bukti tersebut ?

Batasan utama bukti adalah bahawa beberapa kajian:

- melaporkan keputusan yang tidak konsisten;
- kajian mungkin telah dilakukan dengan cara yang memasukkan kesilapan ke dalam keputusannya; dan
- menghasilkan keputusan yang tidak tepat apabila digabungkan bersama.

Kerana batasan ini, kami kurang yakin dengan bukti tersebut.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Oktober 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Melvin Hoo. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information