Rawatan inkontinens urinari stres berulang dalam kalangan wanita selepas kegagalan operasi pita tengah uretra

Soalan ulasan

Apakah cara terbaik untuk merawat wanita dengan inkontinens urinari stres yang tidak sembuh atau berulang selepas pembedahan memasukkan pita di bawah salur keluar pundi kencing (pita tengah uretra)?

Latar belakang

Inkontinens urinari stres (SUI) adalah pengeluaran air kencing apabila seseorang batuk atau bersenam. Ia boleh disebabkan oleh kerosakan otot lantai pelvik atau bekalan sarafnya, terutama semasa bersalin. Rawatan mudah seperti melakukan senaman otot lantai pelvik atau ubat-ubatan, boleh dicuba pada awalnya. Jika kaedah ini tidak berjaya, pembedahan sering dilakukan, dengan menggunakan pita tengah uretra. Ini sering melibatkan perletakan pita polipropilena (bahan sintetik seperti nilon yang diguna dalam sesetengah jahitan pembedahan dan peranti perubatan lain) di bawah salur keluar pundi kencing. Operasi ini sering sangat berjaya, tetapi tidak semua wanita akan sembuh. Pada masa ini tiada kesepakatan di antara pakar bagaimana merawat wanita dengan masalah inkontinens urinari stres berulang selepas kegagalan pembedahan pita tengah uretra.

Adakah ulasan ini mutakhir?

Bukti adalah terkini sehingga 9 November 2018.

Ciri-ciri kajian

Carian kami mengenal pasti satu kajian untuk ulasan ini, melibatkan sejumlah 341 wanita. Dari jumlah tersebut, hanya 46 wanita yang memenuhi kriteria inklusi kami iaitu pernah menjalani pembedahan kontinens sebelumnya dengan pita tengah uretra atau ‘colposuspension’ (sejenis pembedahan untuk menyokong tisu di leher pundi kencing dengan jahitan). Ulasan ini hanya fokus kepada keputusan dari 46 wanita ini, yang diambil dari keputusan keseluruhan kajian.

Sumber pembiayaan kajian

Kajian ini dibiayai oleh Amal Henry Smith. Pembetulan yang diterbitkan menunjukkan sokongan komersial dari pengilang peranti yang diguna dalam kajian ini, yang mana boleh menjadi sumber bias.

Keputusan utama

Kami ingin menilai kesan rawatan konservatif (seperti latihan otot lantai pelvik atau pundi kencing), pembedahan dan ubat terhadap bilangan wanita yang melaporkan inkontinens mereka bertambah baik atau sembuh setelah rawatan, bersama hasil lain seperti kualiti hidup dan peristiwa buruk. Kami juga berminat dengan kesan terhadap hasil dari pelbagai jenis pita tengah uretra.

Dari 46 wanita yang layak di dalam kajian yang disertakan, dua pertiga melaporkan telah menerima pita tengah uretra pada pembedahan pertama mereka. Walau bagaimanapun, data di dalam laporan tidak membezakan antara wanita yang pernah menjalani pembedahan dengan pita tengah uretra sebelumnya dan mereka yang pernah menjalani ‘colposuspension’. Ini bermakna kami tidak pasti keputusan adalah disebabkan oleh pita tengah uretra, oleh itu kami tidak dapat menggunakan data untuk ulasan ini.

Kami merancang untuk meringkaskan bukti tentang rawatan mana yang boleh dianggap penggunaan sumber penjagaan kesihatan yang berbaloi tetapi kami tidak dapat kenal pasti sebarang kajian dengan soalan ini.

Kepastian bukti

Kekurangan data yang boleh guna bermakna kami tidak dapat menilai kepastian bukti.

Kesimpulan penulis

Kami tidak menemui cukup data untuk menilai secara tepat kesan sebarang strategi pengurusan inkontinens urinari stres berulang atau berterusan selepas kegagalan pembedahan pita tengah uretra. Bukti dari kajian berkualiti tinggi diperlukan untuk menangani bidang yang tidak pasti ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information